Bersatu perlu letak calon

SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) perlu meletakkan calon mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu sekiranya mahu mengimbangi atau menyaingi calon Melayu daripada DAP.

Penganalisis politik, Mujibu Abd Muis berkata, jika Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon bukan Melayu, sudah tentu perbezaan tersebut akan memberikan kelebihan kepada calon Melayu.

“Saya rasa Bersatu perlu letak calon di Kuala Kubu Baharu untuk PRK kali ini.

"Kalau bukan Melayu, parti itu mungkin tidak mampu bersaing memandangkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023, jelas menunjukkan DAP masih lagi kuat mendapat undi bukan Melayu.

"Jadi sokongan mereka tidak akan beralih arah.

“Pendekatan terkini itu berikan variasi kepada DAP dengan landskap berbeza, namun sejauh mana penerimaan pengundi orang Melayu dan bukan Melayu kepada calon Melayu.

"Andaian awal kita kata penyokong Pakatan Harapan (PH) yang bukan Melayu tiada masalah mengundi calon Melayu,” jelasnya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pada Rabu, media melaporkan DAP berkemungkinan akan meletakkan calon Melayu pada PRK Kuala Kubu Baharu bulan depan.

Menurut sumber, Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor, Saripah Bakar kini mendahului untuk mewakili PH pada 11 Mei nanti.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Dr Ahmad Marthada Mohamed berpendapat, keputusan DAP meletakkan calon Melayu adalah satu kaedah bagi menarik undi golongan itu.

“Mungkin akan ada peningkatan dari segi sokongan pengundi di kawasan tersebut namun tidak ketara memandangkan sokongan PH sudah lama ada berdasarkan beberapa pilihan raya sebelum ini.

“Apatah lagi kini Barisan Nasional (BN) merupakan sebahagian daripada PH sekali gus akan meningkatkan jumlah undian. Kalau sebelum ini mungkin sokongan kedua-dua parti itu berpecah dua,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Razali Idris berkata, calon yang akan ditampilkan bergantung kepada Majlis Tertinggi PN.

“Saya tidak pasti kerana ia membabitkan keputusan PN.

“Semua orang boleh cakap hasrat, kita tidak boleh kata calon kita akan menang. Sebenarnya keputusan Majlis Tertinggi PN adalah muktamad,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28