PH perlu strategi baharu

SHAH ALAM - Tiada jaminan strategi Pakatan Harapan (PH) meletakkan golongan profesional Melayu sebagai calon payung terjun atau calon langsung dapat membantu parti mewakili Kerajaan Perpaduan di Selangor mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu.

Timbalan Ketua (Strategi), Pejabat Asia, Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan PBB (SDSN-Asia) di Universiti Sunway, Profesor Wong Chin Huat berpandangan, PH bagaimanapun boleh meletakkan golongan profesional sebagai calon langsung dengan syarat individu terbabit mestilah orang tempatan yang sangat berpengaruh dan mendapat sokongan majoriti pengundi di kawasan terbabit.

Chin Huat berkata, unsur peribadi calon seperti kaum dan agama mungkin tidak membawa perbezaan besar kerana pola pengundian lebih dipengaruhi oleh isu seperti kenaikan kos sara hidup, harga barang, kejatuhan nilai ringgit serta sentimen 3R (raja, agama dan kaum).

Berikutan itu, Chin Huat berpandangan, biarpun Kerajaan Madani cuba menekankan bahawa individu yang bakal diangkat sebagai calonnya diyakini mampu mewakili kedua-dua PH dan Barisan Nasional (BN), namun kejayaan strategi berkenaan masih boleh diragui.

“Malah, kegagalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin Kerajaan Perpaduan memadamkan api perkauman akibat isu stoking tertera kalimah ALLAH dijual di KK Mart, kini hubungan UMNO dan DAP menjadi lebih kekok dan dingin daripada dahulu.

“Setelah serangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh terhadap menteri-menteri DAP, agak ganjil kalau jentera UMNO dapat menyemarakkan akar umbinya untuk mengundi calon PH.

“Pada pilihan raya negeri (PRN) lepas, kita sudah lihat kebanyakan undi BN sudah pergi ke Perikatan Nasional (PN).

"Saya jangka mana-mana ahli UMNO yang tak dapat bawa diri untuk menyokong PN, akan ambil keputusan memboikot PRK dengan tidak keluar mengundi,” katanya kepada Sinar Premium.

Chin Huat berkata demikian ketika mengulas kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa Kerajaan Perpaduan sudah mempunyai calon yang akan mewakili mereka pada PRK Kuala Kubu Baharu dan senarainya akan diserahkan kepada Anwar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Sains Politik, Pentadbiran Awam dan Pengajian Pembangunan, Universiti Malaya (UM), Dr Mohammad Tawfik Yaakub berkata, tindakan PH mahu meletakkan golongan profesional Melayu sebagai calon menunjukkan koalisi itu mengakui orang Melayu yang mewakili lebih 46 peratus pengundi akan menjadi king maker.

Mohammad Tawfik menjelaskan, dengan persekitaran politik semasa pengundi Melayu yang tidak menyokong PH dan UMNO, maka strategi baharu perlu dilakukan dengan membawa masuk calon profesional atau orang luar parti sebagai calon.

“Saya melihat strategi cuba digunakan PH ini adalah satu kaedah diadaptasi daripada UMNO.

"Tindakan itu satu keputusan sukar kerana setiap pemimpin politik sudah pasti mahukan kedudukan dan bertanding pilihan raya, namun mereka terpaksa korbankan kepentingan peribadi demi kejayaan dalam PRK nanti.

“PH akan membuat penilaian dari semua aspek sebelum meletakkan calon kerana sudah semestinya ada desakan supaya DAP atau PKR mengekalkan calon Cina bertanding.

“Namun bagi saya jika Perdana Menteri mahukan calon Melayu dan melihat inilah masanya untuk memberikan ruang kepada muka baharu orang Melayu untuk duduk di kerusi DUN Selangor maka akhirnya semua pemimpin parti komponen Kerajaan Perpaduan perlu menerima keputusan Pengerusi PH terbabit,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28