Zambry, Steven Sim ketuai gerak kerja jentera PRK Kerajaan Perpaduan

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong bakal mengetuai gerak kerja jentera parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei depan.

Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, segala penyelarasan dan penyeragaman juga akan dipengerusikan dua individu berkenaan memandangkan perkara tersebut disentuh dalam sesi perbincangan mesyuarat itu.

"Mesyuarat juga bersetuju untuk menyerahkan kepada kepimpinan tertinggi bagi menamakan calon yang akan mewakili parti-parti Kerajaan Perpaduan," katanya menerusi hantaran di muat naik di Facebook pada Rabu.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang berlangsung di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya pada petang tadi.

Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO iaitu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu.

Sementara itu, Asyraf yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) memaklumkan, antara perbincangan lain adalah kesemua parti dalam Kerajaan Perpaduan sepakat untuk terus mempertahankan orientasi dan mengamalkan pendekatan ‘politik kesederhanaan’ sebagai asas kesejahteraan masyarakat berbilang agama serta kaum di negara ini.

Tambah beliau, menerusi pendekatan itu, kerajaan dapat menumpukan perhatian terhadap dasar-dasar yang boleh mensejahterakan rakyat terutama berkaitan kos sara hidup, peluang pekerjaan berkualiti dan kestabilan ekonomi.

“Mesyuarat memandang serius tindakan sesetengah pihak memainkan sentimen rakyat sehingga meningkatkan suhu perkauman dan keagamaan yang mampu mengancam keharmonian negara serta kerukunan masyarakat pelbagai kaum.

“Kerajaan bertindak tegas menurut lunas-lunas perundangan dan tidak berkompromi dengan sebarang tindakan melampau yang boleh menjejaskan kestabilan negara ini,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!