'Ini bukan wang PH', Azmin persoal kerajaan ambil masa panjang

HULU SELANGOR - Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempersoalkan tindakan Kerajaan Perpaduan yang mengambil masa terlalu panjang untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Mohamed Azmin berkata, semasa menjadi Menteri Besar Selangor, beliau telah memperkenalkan dasar memberikan peruntukan kepada pembangkang.

"Mengapa mengambil masa terlalu panjang untuk memberikan peruntukan kepada ahli Parlimen (pembangkang), ini adalah hak kita.

"Ini bukan wang Pakatan Harapan (PH), ini adalah wang pembayar cukai yang dikutip oleh kerajaan yang harus diuruskan dengan bertanggungjawab melalui ahli-ahli Parlimen yang dipilih oleh rakyat.

"Mereka bukan dipilih oleh parti," katanya ketika program Jelajah Pengerusi PN ke Kuala Kubu Baharu pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang akan bermesyuarat, petang ini bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

Difahamkan, mesyuarat itu akan berlangsung pada jam 5.30 petang ini di Kompleks Seri Perdana Putrajaya.

Mengulas lanjut, Mohamad Azmin berkata, beliau turut mempersoalkan isu wang royalti kepada Kelantan dan Terengganu yang masih ditangguhkan

"Saya masih ingat ketika 2018 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, saya dipertanggungjawabkan untuk merundingkan isu wang ihsan ataupun royalti kerajaan negeri Terengganu dan Kelantan

"Pada 2018, 2019, dan seterusnya hingga zaman Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kerajaan Terengganu sahaja menerima RM1.6 bilion setahun kerana itu adalah hak mereka yang dijamin oleh Perlembagaan," katanya.

Dakwanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa jadi Ketua Pembangkang turut berjanji menaikkan royalti sehingga 20 peratus dalam manifesto pilihan raya PH.

"Tapi sekarang jangan kata 20 peratus, lima peratus yang sudah ada dalam Perlembagaan pun tidak dilaksanakan.

"Jadi mengapa nak dibawa mesyuarat, nak dibincang, apa nak dibincangkan?

"Itu adalah hak ahli Parlimen, hak kerajaan Terengganu dan Kelantan," katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28