Cabaran besar buat PKR – Chean Chung

SHAH ALAM - Parti Keadilan Rakyat (PKR) berdepan cabaran besar sebagai parti tunjang dalam Kerajaan Perpaduan untuk mengekalkan momentum dan menarik sokongan rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung berkata, sebagai satu gabungan yang dianggotai oleh 19 buah parti politik, perkara penting yang harus diutamakan adalah agenda bersama.

Menurutnya, dalam kekangan itu, semua pihak perlu lakukan yang terbaik untuk menterjemahkan aspirasi atau keazaman selama ini kepada satu dasar, semangat dan jiwa secara bersama.

“Saya tidak melihat kepada persoalan adakah rakyat menyokong kerajaan sedia ada tapi adakah mereka menyokong PKR yang menjadi tunjang kepada Pakatan Harapan (PH) dan Kerajaan Madani.

“Sebab itu, perlu berbalik kepada kerangka PKR sendiri, bagaimana untuk terus mendalami hati mereka (rakyat), memperluaskan pengaruh kita dan ‘membeli’ jiwa khususnya orang muda. Itu lebih penting sebenarnya sebab kita secocok dengan orang muda yang nak kepada perubahan.

“Bagaimanapun, kita perlu tahu jenis dan apa perubahan yang mereka mahukan. PKR perlu bersaing ideologi dengan PN (Perikatan Nasional) yang menganggap cara konservatif dan eksklusif itu lebih baik, sebaliknya kita merasakan inklusif dan progresif itu lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mengemukakan enam soalan kepada PKR berikutan konvensyen khas yang akan diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-25 penubuhan parti itu di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini pada 21 April ini.

Hassan berkata, pemimpin dan anggota parti seramai lebih sejuta orang di 222 kawasan Parlimen seluruh negara akan berani bermuhasabah dan memeriksa kekuatan mereka sendiri dengan menjawab persoalan tersebut.

Tambah Chean Chung, tempoh tiga ke empat tahun mendatang adalah peluang terbaik untuk PKR membuktikan bahawa mereka mampu mengatasi tiga cabaran utama iaitu reformasi, politik berbilang kaum dan politik rakyat.

“PKR akan menyambut ulang tahun ke-25 dan bagi kami, pentingnya untuk mengingatkan semua bahawa perjuangan kita tidak sama dengan PN.

“Pertamanya adalah reformasi. PKR adalah sebuah parti politik yang progresif dan bukanlah mudah untuk ubah kepada status quo.

“Kita tahu bahawa apabila status quo ini, ramai yang sama ada dapat kepentingan atau takut akan perubahan, itu menjadi lebih buruk. Maka, ia perlukan satu sifat yang progresif.

“Kedua, politik berbilang kaum. Kita tidak gunakan formula politik Melayu Islam sebagaimana PN sebaliknya meyakinkan semua bahawa ini adalah cara atau pendekatan terbaik untuk Malaysia. Ini satu cabaran buat kami,” jelasnya.

Selain itu katanya, PKR melihat kepada politik rakyat iaitu membantu rakyat majoriti dan bukannya mengikut kaum.

“Mereka adalah golongan B40 dan M40. Dalam erti kata lain, bagaimana kita nak laksanakan dasar kerajaan yang akhirnya untuk golongan ini dan bukannya untuk golongan atasan yang sudah kaya dan lebih daripada cukup.

“Ketiga-tiga ini adalah cabaran dan perjuangan yang didukung oleh PKR,” jelasnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28