Dua faktor penentu 'endgame' peruntukan pembangkang

SHAH ALAM - Pemerhati politik menggariskan dua faktor utama penentu jalan penyelesaian atau endgame perjanjian agihan peruntukan tahunan untuk tujuan pembangunan kawasan kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang bakal direalisasikan dalam masa terdekat atau sebaliknya.

Namun Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Teras, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Azmir Mohd Nizah berkata, dua faktor berkenaan membabitkan sejauh mana cabaran ekonomi bakal dirasai Kerajaan Perpaduan implikasi daripada krisis terkini geopolitik rantau Asia Barat membabitkan Iran-Israel serta natijah keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu yang dijadual pada 11 Mei ini.

Jelasnya, meskipun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim acap kali menjelaskan Kerajaan Madani komited memenuhi tuntutan blok ahli Parlimen pembangkang, tetapi kerajaan masih memerlukan masa dan ruang untuk memastikan keputusan pengagihan peruntukan tahunan itu tidak akan ‘menembak kaki mereka sendiri’.

Justeru, Mohd Azmir menjangkakan sesi libat urus perbincangan pihak kerajaan dan wakil pembangkang terutama Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan esok dijangka tidak akan menemui titik penyelesaian rundingan meskipun ia sudah dilaksanakan sebanyak tiga kali.

“Sekiranya konflik Iran-Israel semakin memburuk sebagaimana perang Ukraine-Rusia, kerajaan mungkin terpaksa menunda penawaran MoU (perjanjian persefahaman) agihan peruntukan ahli Parlimen pembangkang bagi memberi keutamaan terhadap keperluan menstabilkan ekonomi negara yang bakal terkesan teruk dengan konflik geopolitik Asia Barat.

“Senario kedua, jika keputusan PRK Kuala Kubu Baharu tidak memihak kepada kerajaan, langkah ini akan memberi tekanan kepada Anwar untuk mengarahkan MoU itu direalisasikan segera.

“Ini kerana kekalahan calon Kerajaan Madani bakal memberi petunjuk defisit kepercayaan rakyat terhadap kerajaan semakin meningkat dan MoU agihan peruntukan pembangkang sahaja dilihat penyelesaian menstabilkan politik negara sehingga Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16),” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Sabtu lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan Kerajaan Perpaduan akan mengadakan mesyuarat peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan pada Rabu bagi membincangkan isu pengagihan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang.

**media[2615271]**

Jelas Fadillah, mesyuarat itu dibuat susulan pertemuan pemimpin Perikatan Nasional (PN) dengan beliau di Parlimen pada 19 Mac lalu.

Dalam perjumpaan itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang datang bersama Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hanya membincangkan isu peruntukan terbabit.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Komunikasi Liberal, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr A Aziz Azizam mengunjurkan peluang MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang dimeterai antara kerajaan dan blok pembangkang dalam masa terdekat adalah amat samar.

Ujarnya, ini kerana kerajaan dijangka akan terus bermain tarik tali dalam perantara rundingan bersama wakil blok pembangkang sekurang-kurangnya sehingga tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka diadakan pada tahun hadapan.

“Kerajaan sebenarnya berdepan dua bentuk tekanan untuk merealisasikan MoU peruntukan ahli Parlimen pembangkang iaitu yang pertama tekanan Perdana Menteri menunaikan janji pemberian peruntukan adil yang beliau laung-laungkan sewaktu menjadi Ketua Pembangkang dahulu.

“Tekanan kedua adalah titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang menuntut agihan peruntukan sama rata diberikan kepada ahli-ahli Parlimen dan negeri-negeri pembangkang.

“Justeru, Kerajaan Madani tiada pilihan selain terpaksa menunaikan MoU itu. Cuma kerajaan dijangka akan bermain tarik tali dalam merealisasikannya kerana mereka tidak mahu inisiatif itu memakan diri sekiranya tidak direncanakan sebaiknya.

“Perjalanan merealisasikan MoU ini saya kira masih jauh dan mungkin mencapai tempoh pelaksanaan PRU16,” kata beliau.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28