‘Tiada layanan istimewa untuk bekas pemimpin‘

SHAH ALAM - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo tidak percaya dakwaan bahawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerima layanan istimewa di penjara.

Mohamad Khir yang pernah menjalani hukuman di Penjara Kajang selama enam bulan berkata, tiada layanan dua darjat di penjara tersebut.

Malah, katanya, pihak penjara sama sekali tidak akan memberi layanan istimewa kepada banduan termasuk mana-mana pemimpin negara yang menjalani hukuman di sana.

“Tiadalah (layanan istimewa), sama sahaja. Makanan juga sama (dengan banduan lain),” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Terdahulu, Najib diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak tahun 2022.

Ini sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan dari penjara pada 23 Ogos 2028.

Pada Khamis, penceramah, Wan Ji Wan Hussin yang dipetik Malaysiakini mendakwa ada melihat Najib di Penjara Kajang, namun menerima ‘layanan sangat istimewa’ berbanding banduan lain.

“Saya biasa nampak dia tak pakai baju banduan macam kita yang lain. Dia pakai biasa sahaja, macam duduk di rumah,” kata Wan Ji, sambil menambah Najib ditempatkan di ‘blok istimewa’, berbeza dengannya.

Wan Ji baru dibebaskan pada 22 Mac lalu selepas beberapa bulan menjalani hukuman penjara berikutan sabitan kes hasutan dikaitkan dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada tahun 2014.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28