UMNO belum cukup kuat tarik sokongan rakyat Kelantan

SHAH ALAM - Kedudukan UMNO pada masa ini belum cukup kuat untuk mendapat sokongan rakyat Kelantan, sebaliknya parti itu masih perlu membuktikan mereka mampu mewujudkan kembali rangsangan sebagai parti dominasi politik umat Islam yang mendukung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Penganalisis Keselamatan dan Politik Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara, Dr Noor Nirwandy Mat Noordin bagaimanapun berkata, tidak mustahil UMNO boleh menjadi pilihan sekiranya parti itu dapat melaksanakan diplomasi politik baharu bagi membentuk kekuatan dominasi politik Islam yang merupakan teras utama di negeri itu.

Menurutnya, pendekatan tersebut penting bagi meyakinkan masyarakat tentang kepentingan UMNO menerusi gerakan akar umbi dan visi politik yang kuat, di samping bebas daripada kritikan yang boleh menjatuhkan imej UMNO.

“Di sinilah cabaran UMNO untuk merangka satu pelan pendidikan perang saraf, diplomasi politik yang baharu untuk membina satu persepsi yang positif dalam kalangan masyarakat, di kawasan-kawasan tertentu khususnya rakyat Kelantan.

“UMNO harus terus menonjolkan muka-muka baharu, watak-watak baharu untuk memberikan keyakinan pada masyarakat di samping melihat kepada peluang kerjasama silang dalam kalangan parti-parti ataupun tokoh-tokoh tempatan yang mampu memberikan satu keadaan lebih baik kepada kepimpinan UMNO Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang yakin parti itu akan kembali menjadi pilihan rakyat Kelantan pada masa hadapan bersandarkan kepada komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh kepimpinan UMNO negeri.

Mengulas lanjut, Noor Nirwandy berkata, terdapat beberapa teras utama yang tidak dapat dipisahkan dalam politik negara antaranya termasuk dominasi politik Melayu Islam yang jelas menunjukkan satu bentuk kecenderungan pengundian ketara dalam beberapa siri pilihan raya lepas.

Sehubungan itu ujar beliau, UMNO perlu memastikan isu-isu berkepentingan Melayu Islam dicapai di samping membentuk satu kesepaduan bagi menjaga pelbagai kaum, agama dan bangsa dalam negara.

“Ia termasuk isu berhubung pendekatan-pendekatan ekonomi secara mikro, ekonomi-ekonomi tertentu yang dilakukan secara terpencil khususnya berhubung dengan infrastruktur.

“Penambahbaikan juga merupakan satu perkara yang menjadi kekuatan UMNO untuk menunjukkan bahawa parti itu mampu untuk menjadi pilihan rakyat Kelantan pada masa hadapan,” katanya.

Tambah beliau lagi, walaupun wujud pelbagai krisis dan isu yang menjejaskan persepsi masyarakat, UMNO mempunyai rekod kejayaan-kejayaan parti yang boleh dibanggakan dalam pentadbiran negeri dan Persekutuan.

“Inilah masanya untuk rekonsiliasi gerak saraf diplomasi politik dijalankan oleh UMNO bagi membentuk satu bentuk rangsangan baharu kepada masyarakat untuk kembali melihat UMNO yang mempunyai kekuatan kemampuan untuk Perlembagaan dan menjaga kepentingan politik dominasi Melayu Islam,” katanya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28