SHAH ALAM - Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk dikenakan tindakan undang-undang susulan langkah terbaharu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terhadap ahlinya yang ‘khianat’.
Bagaimanapun katanya, Bersatu sepatutnya bertindak lebih gentleman dan mengambil tahu masalah yang dihadapi wakil rakyatnya sebelum membuat sebarang keputusan.
Beliau turut mengingatkan bahawa Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang terlebih dahulu mengkhianati UMNO sebelum menyertai Bersatu.
“Selepas PRU14 (Pilihan Raya Umum Ke-14) lagi, sudah timbul isu nak ambil tindakan undang-undang bila ada kes sebegini. Itu hak masing-masing (parti), tetapi mahkamah yang akan tentukan ia adalah salah atau tidak.
“Ramai pemimpin termasuk Hamzah sendiri ada isu yang sama. Pada masa itu, dia meninggalkan UMNO dan parti nak ambil tindakan.
“Sepatutnya dalam soal ini, tanganinya secara politik dan gentleman. Tanya dahulu kepada ahli Parlimen berkenaan, kenapa berbuat sedemikian kerana tentu ada sebabnya.
“Lagipun sokongan itu (terhadap Perdana Menteri) dibuat secara profesional,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Hamzah sebelum itu berkata, Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Ahad bersetuju untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas wakil rakyat yang khianat bagi maksud pengosongan kerusi dan parti itu bersedia untuk berdepan pilihan raya kecil.
Selaras dengan ketegasan itu juga katanya, MPT bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu bagi menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan.
Syed Abu Hussin Hafiz merupakan antara wakil rakyat Bersatu yang mengisytiharkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim namun kekal sebagai ahli parti.
Selain beliau, lima lagi ahli Parlimen Bersatu turut berbuat demikian iaitu Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan terbaharu, Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang).