PRK DUN Slim: MCA berkempen di kawasan bandar

TANJUNG MALIM - MCA membantu kempen calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim dengan menumpukan kawasan bandar yang diduduki lebih 85 peratus kaum Cina.

Presidennya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, adalah menjadi tanggungjawab sebagai parti komponen BN untuk bergerak dalam memastikan kemenangan berpihak kepada calon BN, Mohd Zaidi Aziz.

“Gerak kerja kami tertumpu di kawasan Kampung Baru yang merangkumi hampir 85 peratus kaum Cina dalam DUN di Slim River ini.

“Kawasan ini merupakan sebahagian besar tumpuan untuk PRK ini. Diharapkan peluang dapat diberikan kepada BN,” katanya kepada pemberita ketika meninjau tanah rizab KTMB di Kampung Baru Slim River di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya tidak memandang pertandingan tiga penjuru ini sebagai suatu yang mudah.

“Kita tidak boleh terlampau selesa atau bersikap sambil lewa sahaja, kita kena bekerja keras untuk pastikan kemenangan milik kita menjelang 29 Ogos ini.

“Dalam setiap PRK, kita kena bertungkus lumus memastikan kemenangan dan itulah objektif kita, kalau boleh mendapat mandat lebih besar,” katanya.

Ka Siong berkata, pihaknya akan merancakkan lagi gerak kerja pada minggu terakhir kempen.

“Kempen dari rumah ke rumah penting apabila kita dapat menunjukkan keprihatinan dan menarik hati penduduk.

“Kita tidak boleh membuat kerja di saat akhir. Kita keluar (berkempen) untuk pastikan rakan dalam BN menang dengan majoriti besar. Saya harap kita dapat mencapai sasaran,” katanya.


 

Mohd Zaidi AzizWee Ka Siong MCA PRK DUN Slim BN Mohd Zaidi Aziz
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :