Orang Asli kini lebih bijak: Penganalisis

SHAH ALAM - Orang Asli kini lebih bijak  dan tahu menilai bahawa BN bukan lagi kuasa besar politik negara akibat pertukaran kerajaan selepas PRU14, 9 Mei 2018.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata, harapan untuk calon PH, M Manogaran memenangi PRK Cameron Highlands dijangka cemerlang didukung beberapa kelebihan yang dimiliki PH sebagai Kerajaan Persekutuan.

"Meskipun Manogaran pernah tewas dua kali, namun peluang untuk beliau menang dalam persaingan empat penjuru kali ini tetap ada. Antara aspek yang memberi kelebihan kepadanya ialah cara fikir pengundi telah berubah dan PH kini Kerajaan Persekutuan.

"Malah, PH memiliki ruang dan peluang untuk memperkasakan strategi kempen dengan menampilkan pemimpin nama-nama besar untuk meraih undi, jadi peluang untuk PH menang kali ini agak cerah," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Ahmad Marthada menyatakan, BN belum boleh berlapang dada dengan calon pilihan mereka, bekas pegawai polis dari suku Semai, Ramli Mohd Noor kerana etnik minoriti itu tahu BN bukan lagi kerajaan memerintah seperti sebelum ini.

"Bagi saya walaupun kita dapati Orang Asli merupakan pengundi yang agak besar, tapi  kita kena ingat bahawa pengundi India dan Melayu juga menjadi faktor penentu.

"Pengundi Orang Asli pun kebanyakan dah bijak, tak semestinya mereka akan mengundi BN dalam keadaan di mana  BN bukan lagi satu kuasa besar dalam politik negara. Pengundi Orang Asli memang ramai tapi ia bukan penentu mereka akan setia memilih BN," ujarnya.

PRK Parlimen Cameron Highlands menyaksikan saingan empat penjuru membabitkan calon PH, M Manogaran, calon BN, Ramli Mohd Noor; serta dua calon Bebas iaitu Sallehudin Ab Talib dan Wong Seng Yee.

PRK itu diadakan susulan keputusan Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan bekas penyandang, Datuk C Sivarraajh pada  PRU14 selepas memutuskan berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.

M ManogaranM Manogaran Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :