Saiful bantu keluarga dihalau rumah sewa

PORT DICKSON - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul.

Terpaksa tidur dalam khemah bersama empat anak di tepi pantai kerana dihalau dari rumah sewa. Bayangkan keperitan terpaksa dilalui.

Begitulah situasi dihadapi sebuah keluarga seperti dilaporkan akhbar baru-baru ini yang turut mendapat perhatian calon Bebas di PRK Parlimen Port Dickson, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Meskipun keluarga berkenaan bukanlah pengundi Port Dickson, namun beliau tetap menghulurkan bantuan atas dasar kemanusiaan.

“Alhamdulillah...hasil kerjasama rakan media yang memberi maklumat kami berjaya mendapatkan penginapan sementara buat pasangan suami isteri bersama empat orang anaknya.

“Mereka tinggal dalam khemah selepas dihalau kerana tidak mampu membayar sewa rumah.

“Walaupun sudah lewat malam kami usaha untuk dapatkan penginapan sementara yang selesa memandangkan mereka sekeluarga sudah lima hari tidur dalam khemah di tepi pantai,” tulisnya dalam laman Facebooknya, tengah malam tadi.

Tambah Mohd Saiful Bukhari, beliau akan membawakan perkara itu ke pengetahuan Jabatan Kebajikan Masyarakat, hari ini, bagi membantu mencari jalan penyelesaian buat keluarga berkenaan.

“Saya kagum kerana sebenarnya beliau tidak mahu merintih minta bantuan. Beliau benar-benar mahu berdikari, menjalankan perniagaan makanan.

“Justeru, sama-samalah kita bantu agar dapat mengumpul modal untuk berniaga. Lesen dan Tapak berniaga sudah pun diluluskan oleh MPPD (Majlis Perbandaran Port Dickson.

“Ia dimaklumkan oleh MPPD malam tadi (semalam). Untuk pegetahuan semua mereka bukan pengundi Port Dickson, saya bantu atas dasar tanggungjawab sesama manusia,” katanya.

Mohd Saiful Bukhari AzlanPRK Port Dickson Negeri Sembilan