PRK Sungai Kandis: TPM minta pengundi keluar mengundi

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta pengundi di Dun Sungai Kandis keluar menunaikan tanggungjawab bagi memilih wakil rakyat di kawasan berkenaan.

Wan Azizah menerusi Twitternya menyatakan peratusan pengundi setakat jam 1.00 tengah hari tadi hanyalah mencapai 31 peratus.

Menurutnya, ramalan cuaca juga dijangkakan hujan pada sebelah petang.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai kandis: 19 pusat pengundian dibuka jam 8 pagi]

Hanya berbaki kira-kira sejam sahaja lagi sebelum pusat pengundian melibatkan 18 buah sekolah dan sebuah dewan orang ramai akan ditutup pada jam 5.30 petang.  

Sebanyak 19 pusat pengundian dengan 109 saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Kandis dibuka mulai 8 pagi ini bagi membolehkan 51,217 pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab mereka.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan 80 peratus pemilih keluar mengundi pada PRK itu dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 10 malam.

Proses penjumlahan undi akan dilakukan di Dewan Besar Tanjung, Majlis Bandaraya Shah Alam, Seksyen 19 di sini, sebaik sahaja proses pengundian tamat pada pukul 5.30 petang ini.

Sungai Kandis