Tiga 'kuda tua' UMNO jadi senjata di DUN KKB

KUALA KUBU BAHARU - [DIKEMAS KINI] Setelah lebih seminggu kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berlangsung, kesemua calon bertanding mula menggerakkan gear ke tahap lebih tinggi untuk mendekati keseluruhan 40,226 pengundi.

Daripada empat calon yang mencuba nasib merebut kerusi DUN berkenaan, hanya calon Pakatan Harapan (PH) daripada Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao, 31, dan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) daripada Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, 54, yang dilihat agresif menggerakkan jentera pilihan raya masing-masing.

Dari pihak PN, Khairul Azhari dilihat bergantung kepada pengalaman dan kepakaran bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali untuk bergerak ke keseluruhan 16 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dan menyantuni pengundi.

Bagi pihak PH, Sock Tao mempunyai sedikit kelebihan apabila beliau turut dibantu oleh jentera-jentera kerajaan selain jentera PH yang turut merangkumi DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Negara (Amanah).

**media[2644697]**

Bagaimanapun, timbul persoalan sama ada jentera sebuah lagi parti yang menyertai koalisi Kerajaan Perpaduan yang lain seperti Barisan Nasional (BN) benar-benar turun padang membantu kempen Sock Tao.

Di sebalik dakwaan jentera BN terutama UMNO kurang membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan, ramai tidak menyedari terdapat tiga tokoh pemimpin veteran parti itu yang berganding bahu turun padang dan bekerja keras berkempen memujuk pengundi Melayu di keseluruhan 16 PDM.

**media[2644699]**

Tiga ‘kuda tua’ UMNO berkenaan ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib; Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim.

Memulakan gerakan mendekati pengundi Melayu sejak seminggu sebelum hari penamaan calon, gandingan Muhammad atau lebih dikenali Mat Tyson, Zainal Abidin dan Mohd Isa dikatakan memilih kaedah berkempen secara senyap-senyap melalui ceramah kelompok dan program santuni pengundi dari rumah ke rumah.

**media[2644700]**

Untuk rekod, Muhammad pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, kawasan DUN bersebelahan KKB selama 15 tahun, manakala Zainal Abidin turut menjadi ADUN kawasan sama pada tahun 1999 sehingga tahun 2008.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

“Dengan rekod perkhidmatan Mat Taib selaku Menteri Besar Selangor memang banyak membantu pembangunan ekonomi penduduk Parlimen Hulu Selangor. Saya fikir pengaruh beliau masih besar terutama dalam kalangan penyokong veteran UMNO.

“Saya tidak tolak kemungkinan kehadiran mereka memberi nilai tambah terhadap usaha PH (Pakatan Harapan) mempertahankan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) KKB (Kuala Kubu Baharu). Sekalipun usaha Mat Taib dan rakan-rakan mampu mengembalikan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus pengundi Melayu UMNO, itu pun sudah cukup memadai,” jelas Pengerusi Tekun Nasional itu.

Sementara itu, Muhammad sewaktu ditemui Sinar Premium percaya kejutan besar bakal berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB di mana undi Melayu diyakini tidak lagi akan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

“Saya dapat merasakan gelombang pengundi Melayu yang mahukan perubahan pada PRK KKB lebih ketara berbanding PRN Selangor tahun lalu.

“Jangan terkejut jika calon PH mampu menang dengan undi majoriti jauh lebih besar,” ujar beliau.

BACA ANALISIS PENUH SEMPENA PRK KUALA KUBU BAHARU:

PRK KKB lebih sengit berbanding PRN