‘Ini kalilah, dulu tak kawan sekarang kita kawan’ - Ahmad Maslan

HULU SELANGOR - Jentera Barisan Nasional (BN) akan terus membantu calon Perpaduan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada mereka pada pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Ahli Majlis Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, untuk itu semua parti gabungan dalam Kerajaan Perpaduan perlu bersama-sama sehabis baik dalam menjayakan misi berkenaan.

Menurut Ahmad, beliau berharap MCA akan menyertai kempen bersama Pakatan Harapan (PH) bagi membantu calon sepanjang kempen berlangsung selama dua minggu.

“Kami, UMNO dan BN akan berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan calon Perpaduan menang dalam PRK ini.

“Rakan-rakan kami dalam PH telah membantu kemenangan kami di DUN Pelangai dan ini masa yang kita perlu tolong calon di tempat ini.

"Jadi ini kalilah. Dulu kita tidak menjadi kawan kini sudah menjadi kawan,” katanya ketika menyampaikan ucapan bersempena pengumuman calon Perpaduan di Pusat Khidmat ADUN Kuala Kubu Bharu di sini pada Rabu.

Terdahulu pada pengumuman itu, Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, Pang Sock Tao diumumkan sebagai calon Perpaduan.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Kuala Kubu Baharu, Selangor pada 11 Mei ini.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April dan 7 Mei.

Kerusi DUN itu kosong susulan kematian Kee Hiong pada 21 Mac lepas.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, ketua dan pimpinan parti perlu menggunakan kebijaksanaan serta pengalaman sedia ada sepanjang tempoh berkempen.

Ujarnya, dengan menggunakan strategi yang baik, mereka mampu mengekalkan kerusi PH di kawasan tersebut.

“Kami datang membawa perjuangan rakyat dan pengundi di Kuala Kubu Baharu.

“Jika kita mahu kekalkan Kuala Kubu Baharu menjadi penghubung antara kerajaan negeri dan pusat, tiada pilihan lain selain menangkan calon di kawasan ini,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!