Manifesto PH hasil maklum balas penduduk - Sock Tao

HULU SELANGOR - Manifesto calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao dibuat berpandukan kepada hasil maklum balas diterima daripada penduduk Kuala Kubu Baharu.

Menurut calon kelahiran Ampang, Selangor yang berusia 31 tahun itu, ia selari dengan usaha agenda rakyat dan mendengar kehendak dan keperluan penduduk setempat.

"Manifesto ini adalah hasil maklum balas yang diterima daripada penduduk setempat sepanjang tempoh berkempen ini.

"Selain itu, kandungan tawaran kepada pengundi berkenaan juga terhasil daripada kajian saya dan pasukan kempen PH.

"Seperti mana saya maklumkan sebelum ini, tumpuan saya adalah untuk penduduk setempat terutamanya golongan belia yang begitu dekat dengan hati saya," katanya ketika ditemui pemberita selepas Ceramah Mega Perpaduan di Bandar Utama Batang Kali di sini, pada malam Jumaat.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd Imran Tamrin.

Terdahulu, Sock Tao melancarkan manifestonya yang menggariskan lima inti pati atau teras bagi meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu, 11 Mei depan.

Lima teras yang terkandung dalam manifesto bertemakan 'Kekal Kuala Kubu' itu tertumpu kepada aspek ekonomi, kemudahan, alam sekitar dan rekreasi, warisan dan budaya serta kesejahteraan rakyat.

Sementara itu, ditanya mengenai keyakinannya untuk memastikan kerusi DUN berkenaan kekal milik PH, beliau mengakui positif mampu mempertahankannya.

Keyakinan itu ujar Sock Tao, bersandarkan maklum balas pengundi pelbagai kaum dan umur yang diberikan sepanjang tempoh kempen ini.

"Sudah tentu saya dan pasukan kempen optimis (capai kemenangan) dan kami akan bekerja lebih keras lagi sehingga hari pengundian," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!