PRK Kuala Kubu Baharu: Ajak pengundi India boikot tindakan tak bertanggungjawab

SHAH ALAM - Tindakan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang mengajak pengundi India memboikot dan merosakkan undi dalam Pilihan Raya Kecil (RPK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu disifatkan tidak bertanggungjawab dan merugikan kaum berkenaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata, tindakan itu tidak menyumbang kepada penyelesaian isu yang dihadapi oleh komuniti India, sebaliknya hanya melemahkan suara mereka dalam pentadbiran negara.

Menurutnya, NGO terbabit tidak seharusnya 'mengheret' sama kaum India untuk 'memulaukan' PRK berkenaan.

"Jika individu (dalam NGO) tidak mahu menyertai proses demokrasi, itu hak mereka, begitu juga apabila mereka ingin parti yang ekstremis dan tidak bertanggungjawab.

"Jangan mempengaruhi pengundi komuniti India untuk menyerahkan hak mereka kepada parti tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini laporan mendakwa terdapat usaha sebuah NGO yang meminta pengundi India memboikot PRK DUN Kuala Kubu Baharu.

Sehubungan itu, Preakas memberitahu, Selangor satu-satunya kerajaan negeri di bawah Kerajaan Perpaduan yang memberikan bantuan paling banyak kepada semua lapisan Masyarakat.

Katanya, inisiatif kerajaan negeri itu termasuklah bantuan Peralatan Usahawan India Selangor (I-SEED), bantuan kepada sekolah Tamil, kuih dan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Tambah beliau, kerajaan pusat telah mengumumkan dana tambahan RM30 juta bagi perkasakan wanita India dalam bidang perniagaan, Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan sebagainya.

"Sebagai wakil negeri dan ahli komuniti India, saya menafikan kenyataan yang menyatakan Kerajaan Madani tidak mempedulikan ahli-ahli kaum India.

"Saya menggesa semua pengundi India untuk keluar dan menjalankan tanggungjawab mereka sebagai warganegara dengan mengundi pada PRK ini," ujarnya.

Tegas beliau, setiap rakyat termasuk kaum India diberikan amanah dan tanggungjawab untuk keluar mengundi bagi menyuburkan proses demokrasi dalam negara.

"Mengundi adalah hak dan tanggungjawab kita dan dengan keluar mengundi, kita boleh memastikan suara kita didengar dan kepentingan komuniti kita dilindungi.

"(Jika) tidak mengundi, ia hanya memberikan peluang kepada parti ekstremis untuk meraih kemenangan, yang mana kesannya jauh lebih buruk bagi komuniti India.

"Kita mesti menunjukkan kekuatan kita melalui undi yang kita berikan dan menolak kecenderungan ekstremis," katanya.

Beliau turut menaruh keyakinan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Madani sedang berusaha menyelesaikan isu-isu yang dihadapi oleh komuniti India.

"Kita harus memberi peluang dan masa kepada mereka untuk melaksanakan perubahan yang diperlukan.

"Saya minta semua pengundi India di PRK (DUN) Kuala Kubu Baharu untuk keluar mengundi," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!