Sanusi sekadar 'juru umum' - Mahdzir

SUNGAI PETANI - Menteri Besar (MB) Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor disifatkan sekadar juru umum kerana sering membuat pengumuman tentang pembangunan yang ingin direalisasikan termasuk menyediakan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di Langkawi.

Pengerusi UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, cadangan terbaharu itu dilihat sekadar omong kosong.

"Dia (Sanusi) memang suka umum. Saya ingat MB ni memang terkenal dengan juru umum.

"Tapi saya tak nampak (akan berhasil) macam umum Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP), Pelabuhan Sanglang dan sekarang LRT di Langkawi," katanya.

Mahdzir ditemui ketika hadir ke Majlis Tautan Kasih Sepetang Bersama Mubarak Kedah di sini pada Rabu.

Jelas beliau, cadangan Muhammad Sanusi yang mahu membina perkhidmatan LRT itu juga didakwa telah mendapat reaksi daripada golongan profesional.

"Saya tengok dalam komen daripada profesional, teknokrat dan juga ahli akademik pun memang bagi sesuatu yang agak negatif.

"Dengan kedudukan pulau, jumlah populasi yang ada, destinasi, di situ ada grab, kereta sewa, geografi... satu pengumuman yang dibuat (Sanusi) mungkin dia nak buat kajian lah kot," katanya dalam nada berseloroh.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea Selatan, Royal Eco Train Development (RETD) di Wisma Darul Aman.

Kerjasama itu bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai potensi perkhidmatan LRT maglev yang menggunakan sistem teknologi levitasi magnet serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) dibangunkan di Pulau Langkawi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!