Pegawai Khas Pejabat TPM jadi calon Bersatu

SUNGAI BESAR - Pegawai Khas di Pejabat Timbalan Perdana Menteri, Muslimin Yahaya menyertai Bersatu dan bakal diberikan laluan sebagai calon Pakatan Harapan (Harapan) bagi kerusi Parlimen Sungai Besar, pada PRU14.

Ketua Bersatu Bahagian Sungai Besar, Hasnizam Adham berkata, Muslimin menyertai Bersatu pada Rabu lalu dan menerima watikah daripada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, sehari kemudian.

"Watikah sebagai calon ini telah disampaikan Datuk Abdul Rashid Asari kepada Muslimin di Ibu Pejabat Bersatu di Shah Alam," katanya hari ini.

Hasnizam berkata, pemilihan Muslimin itu dibuat selepas calon yang diketengahkan Bersatu sebelum ini, Mohd Ashraf Basri, menarik diri atas faktor-faktor tertentu.

"Pemilihan dibuat bukan atas kepentingan saya, tetapi atas kepentingan pengundi dan masyarakat setempat," katanya.

Hasnizam berkata, Muslimin yang juga bekas Setiausaha Sulit Kanan Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, merupakan calon anak tempatan yang amat disenangi pengundi di Parlimen Sungai Besar.

"Saya telah mencadangkan beliau kepada pucuk pimpinan setelah jawatankuasa biro politik membuat keputusan demi untuk membuat perubahan.

"Sebagai ketua bahagian, saya bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Muslimin sebelum ini disebut sebagai calon PRK Parlimen Sungai Besar selepas kematian penyandangnya, Tan Sri Noriah Kasnon yang terlibat dalam tragedi helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei 2016.

Bagaimanapun, BN meletakkan Budiman Mohd Zohdi bertanding di kerusi terbabit dan meraih majoriti undi 9, 191 jauh lebih besar berbanding Noriah yang menang dengan 399 undi menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M Hussin pada PRU13 lalu.

Nama Muslimin sekali lagi tiada dalam senarai BN pada PRU14 apabila kerusi Parlimen Sungai Besar sekali lagi ditandingi Budiman, manakala Dun Sungai Panjang mempertaruhkan Datuk Mohd Imran Tamrin sementara, Dun Sekinchan ditandingi calon MCA iaitu Lee Yee Yuan.

Muslimin YahayaHasnizam AdhamPakatan Harapan Sungai Besar
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :