Majlis isytihar calon PN Kedah ditangguh Rabu depan

ALOR SETAR - Majlis Pengisytiharan Calon-Calon Perikatan Nasional (PN) Kedah yang dijadual berlangsung pada Jumaat ditangguhkan kepada Rabu depan.

Setiausaha PN Kedah, Musoddak Ahmad berkata, penangguhan itu diputuskan oleh Majlis PN Pusat dan PN Kedah dalam mesyuarat yang diputuskan pada Rabu.

Menurutnya, perubahan tarikh berkenaan tiada kaitan dengan dakwaan terdapat perubahan calon Pas pada saat akhir susulan kes pendakwaan membabitkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Selasa.

“Majlis pengisytiharan calon yang dijadual pada Jumaat (21 Julai) ditangguhkan kepada Rabu (26 Julai), atas arahan Majlis PN Pusat dan mesyuarat PN Kedah.

“Ia bertujuan untuk memudahkan pimpinan gabungan itu turun berkempen ke setiap negeri.

"PN pusat mohon selaraskan tarikh pengumuman calon di enam negeri dan biarpun Kedah sudah siap sedia, namun kita hormati keputusan PN pusat,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Musoddak berkata, Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dijadual mengadakan majlis pengisytiharan calon serentak pada Rabu, manakala Kelantan, Terengganu dan Selangor pada Khamis.

“Untuk Kedah majlis diadakan bermula 8 malam di Kompleks Pas Kedah. Perubahan ini tertakluk pada arahan pimpinan PN pusat dan tiada kaitan dengan isu perubahan calon Pas,” ujarnya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 29 Julai untuk tarikh penamaan calon bagi pilihan raya enam negeri dan tarikh pengundian diadakan pada 12 Ogos.

Pada Rabu, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan keputusan menangguhkan pengumuman calon pilihan raya negeri PN adalah berikutan kes mahkamah membabitkan Muhammad Sanusi.

Beliau dilaporkan berkata, keputusan tersebut diputuskan majlis tertinggi PN sebelum Ketua Pengarah Pilihan Raya PN itu ditahan pada pagi Selasa.

Mesyuarat Majlis Syura Ulama Pas juga telah memutuskan Sanusi dikekalkan sebagai calon PRN kerana belum hilang kelayakan untuk bertanding dalam mesyuarat yang diadakan pada petang Rabu.

Pada Selasa, Sanusi didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Selayang atas dua pertuduhan menghasut.

Beliau dituduh mengikut Seksyen 4(1)(A) Akta Hasutan iaitu mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam ceramah politik minggu lalu.

Pemimpin itu juga dituduh melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan yang mempunyai kecenderungan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Kedah