calon muda tarik undi belia

SEREMBAN - Meskipun pertama kali bertanding pada PRU, namun itu tidak bermakna calon muda semua parti tidak dapat melakukan tugas dengan baik.

Hampir kesemua parti mempertaruhkan calon muda, bagi menarik sokongan belia dan pengundi muda.

Bagi calon muda Pas, bertanding di Parlimen Port Dickson, Mahfuz Roslan, 34, berkata pemilihannya pada PRU14 ini merupakan satu permulaan baginya dalam bidang politik.

Beliau yang merupakan Pengasas Pondok Moden Darul Solah, Port Dickson itu beranggapan bahawa didikan agama perlu diterapkan pada umur seawal mungkin, bagi melahirkan generasi yang beriman.

“Begitu juga dalam politik, sedari awal lagi kita perlu mendidik masyarakat supaya beristiqamah dan bersederhana dalam menjalani kehidupan seharian.

“Dengan didikan agama yang sempurna saya yakin, masyarakat sendiri akan tahu nilai-nilai murni yang patut dan tidak patut dilakukan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, PRU14 kali ini, rakyat perlu bijak memilih, bukan sahaja untuk kebaikan negara, malah untuk masa depan anak-anak generasi akan datang, yang mewarisi negara.

Dalam pada itu, calon muda BN, Mah Kah Keong, 33, yang akan bertanding di Dun Bukit Kepayang, menegaskan bahawa calon muda mampu membawa perubahan untuk masa hadapan.

Katanya, hanya melalui kerajaan BN sahaja segala impian dan harapan anak muda dapat direalisasikan dengan baik serta sempurna.

“Lihat kepada manifesto BN banyak tawaran yang disediakan kepada masyarakat dengan pelbagai lapisan umur, dari bayi sehinggalah warga emas, malah golongan belia juga diberi pelbagai keistimewaan.

“Masa depan golongan muda akan lebih terjamin kerana pelbagai pembangunan kini rancak dilaksanakan, demi mencapai pembangunan negara yang lebih hebat,” katanya.

Ujarnya, masyarakat perlu bersifat terbuka dan memilih pemimpin yang benar-benar boleh membawa kemajuan serta merealisasikan segala janji yang dibentangkan, melalui Aku Janji yang dilakukan.

“Muda tidak semestinya tidak boleh buat kerja, jika kita bersungguh-sungguh untuk berkhidmat dengan rakyat, kita pasti boleh lakukan.

“Pengundi perlu bijak memilih demi masa depan negara,” katanya.

Di MELAKA, dicalonkan merebut kerusi Parlimen Kota Melaka pada usia 30 tahun, bukan penghalang buat Eric Choo Wei Sern.

Peguam muda ini juga akan berhadapan Ketua Pembangkang yang juga Setiausaha DAP Melaka, Khoo Poay Tiong serta bekas Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San, yang akan bertanding sebagai calon Bebas.

Meskipun mengakui akan berhadapan cabaran getir pada 9 Mei nanti, Eric tetap yakin yang BN mampu mencatat keputusan luar jangkaan.

Ini kerana, katanya, BN meneruskan usaha berkhidmat kepada penduduk di kawasan berkenaan walaupun tewas dalam perebutan kerusi berkenaan sejak dua penggal lalu.

“Ini antara faktor yang saya lihat boleh bantu BN untuk merampas kerusi Kota Melaka kali ini,” katanya.

Mahfuz RoslanPAS Port Dickson BN Mah Kah Keong Bukit Kepayang Kota Melaka Eric Choo Wei Sern
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :