Afif bakal TMK1 Pulau Pinang?

GEORGETOWN – Spekulasi bahawa Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin akan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang baharu semakin hangat diperkatakan.

Perkara itu berikutan tersebarnya sekeping gambar beliau mengadakan pertemuan dengan Adun Padang Kota, Chow Kon Yeow yang kini merupakan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu.

Namun gambar yang tular itu tidak dinyatakan bila dan di mana pertemuan dua pemimpin tersebut berlangsung.

Gambar itu juga secara tidak langsung menguatkan lagi khabar angin yang mengatakan beliau akan dilantik sebagai TKM1 Pulau Pinang, sementelah Kon Yeow telah dilantik sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang yang baharu.

Spekulasi pelantikan TKM1 berlaku selepas penyandangnya pada sebelum ini, Datuk Mohd Rashid Hasnon tidak bertanding di mana-mana kerusi Dun di Pulau Pinang pada PRU14.

Afif selaku bekas exco kerajaan negeri dikatakan antara individu yang paling layak menjawat sebagai TKM1 Pulau Pinang yang baharu kerana mempunyai pengalaman mentadbir Pulau Pinang.

Beliau juga banyak melakukan aktiviti dan program kemasyarakatan di seluruh negeri, khususnya melibatkan portfolio kesihatan dan pembangunan desa.

Kerajinan dan kecemerlangan yang ditonjolkan Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu sepanjang menjawat sebagai exco kerajaan negeri merupakan antara faktor yang boleh mendorong untuk beliau dilantik mengisi jawatan tersebut.

Terima sokongan AMK

Sementara itu, Afif turut menerima sokongan daripada beberapa cabang Angkatan Muda Keadilan (AMK) di negeri ini yang turut mencadangkan beliau sebagai TKM 1 dalam pentadbiran kerajaan negeri yang akan dibentuk tidak lama lagi.

Ketua AMK Permatang Pauh, Mohd Sharmizan Mohamad Noor berkata, cadangan itu dibuat berdasarkan merit yang ada, di samping Dr Afif merupakan satu-satunya Exco penggal lepas yang dicalonkan semula.

“Umum mengetahui Pulau Pinang satu-satunya negeri yang mengetengahkan paling ramai calon anak muda sebagai calon dalam medan PRU14 yang lalu bagi berdepan lawan iaitu BN. Pengundi muda juga merupakan penyumbang terbesar dan faktor kemenangan bergaya Pakatan Harapan.

“Sebagai Timbalan Ketua AMK Malaysia, Ketua Pemuda Pakatan Harapan Pulau Pinang dan telah sedia ada mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau sewajarnya diberi pertimbangan untuk diberikan jawatan itu,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu, Ketua AMK Bukit Gelugor, R Hari Krishnan turut berkongsi pandangan sama dan menyokong pelantikan Afif sebagai TMK 1 dapat membawa idea anak-anak muda yang menyokongnya selama ini.

“Beliau sangat komited dan telah menunjukkan prestasi yang baik semasa menjadi Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa Dan Kesihatan Kerajaan Pulau Pinang pada penggal yang lepas.

“Kami percaya sepenuhnya bahawa beliau dapat menjadi salah satu pucuk kepimpinan yang baik dalam membentuk kerajaan seperti yang diingini oleh anak-anak muda. Selain itu, kami juga percaya jika beliau dilantik sebagai TKM1, beliau dapat membawa idea-idea anak muda dalam mentadbir negeri ini dan anak muda akan terus memberi sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut, Hari Krishnan berkata, pihaknya juga telah mengutuskan surat sokongan kepada Pengerusi PKR Pulau Pinang, Datuk Mansor Othman untuk mempertimbangkan cadangan serta sokongan terhadap Afif.

Bagaimanapun, selain Afif, bekas Speaker Dun Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain juga merupakan antara nama yang disebut-sebut mungkin akan dilantik sebagai TKM1 Pulau Pinang yang baharu.

Penampilan semula pimpinan PKR Pulau Pinang itu pada PRU14 turut menimbulkan persoalan kemungkinan beliau akan dilantik mengisi kekosongan jawatan itu.

Pelbagai kemungkinan boleh berlaku dengan percaturan politik Pakatan Harapan apabila menampilkan banyak calon baru, lama dan berpengalaman dalam PRU14.

Afif BahardinGeorgetown Pakatan Harapan
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :