Petanda baik buat Pas di Kuala Langat

KUALA LANGAT - Mendengar sendiri sokongan rakyat ketika turun padang bertemu pengundi sesuatu yang cukup melegakan dan berharga untuk didengar. 

Calon Pas bagi kerusi Parlimen Kuala Langat, Datuk Dr Yahya Baba berkata, sokongan rakyat di Banting misalnya cukup baik terutama masyarakat Melayu yang memang mengenalinya.

Menurut Yahya, kebanyakan pengundi yang beliau temui tiada satu pun yang menyatakan bantahan atau tidak menyokong perjuangan parti itu.

“Bagi saya itu adalah petanda yang baik berbeza dengan PRU13 yang mempunyai macam-macam tohmahan.

“Dengan penyokong bangsa lain pun sama, ada sesetengah kawasan mereka memang orang kita, walaupun dah tukar parti pun mereka tetap luahkan rasa sokongan,” katanya kepada Sinar Harian ketika mengadakan perjumpaan dengan masyarakat di Kampung Chodoi, Dun Morib, semalam.

Yahya yang juga Bendahari Pas Kawasan Kuala Langat berkata, beliau tidak menyangka sokongan pengundi masih sama malah tidak menolak Pas untuk mentadbir sekiranya diberi mandat.

Jelasnya, Pas bukan hanya menawarkan kelebihan dalam agama namun sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik termasuk keazaman mengotakan janji dalam manifestonya.

“Bila ada yang terang-terang bagi tahu sokong kita, harapan untuk kita diberi mandat sangat besar dengan syarat mendapat sokongan semua peringkat umur, dan bangsa di Kuala Langat," ujar beliau. 

Mengulas lanjut, Yahya berkata, beliau akan meletakkan keutamaan terhadap aspek perkhidmatan kesihatan terutama untuk warga Kuala Langat dengan menyediakan perkhidmatan dan kepakaran yang terbaik kepada rakyat.

Katanya, dua perkara itu antara kepentingan utama yang rakyat di sini mahu dan menjadi pegangannya untuk membantu rakyat sekiranya diberi mandat.

Yahya BabaKuala Langat Pas
ARTIKEL BERKAITAN YANG PATUT ANDA BACA :