'Saya akan jawab arahan bertulis'

SHAH ALAM - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari mengesahkan akan menjawab arahan bertulis dikeluarkan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam masa terdekat.


Menurutnya, keputusan yang dibuat hasil perbincangan bersama enam ahli Parlimen Bersatu lain yang mengisytihar sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

“Saya sudah terima (surat arahan) dan sekarang ini dalam proses untuk draf jawapan.

**media[2660364]**

“Saya jawab bagi pihak saya sendiri. Saya pun ikut jugalah mereka (enam ahli Parlimen lain) punya keputusan.

“Semalam (Isnin) sudah mesyuarat. Bila dah buat keputusan, masing-masing ikut masa sendiri (jawab surat). Mungkin ada yang tak nak jawab, tapi saya akan jawab,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Ditanya mengenai arahan khusus diberikan pucuk pimpinan serta jawapan balas yang bakal diberikan, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

Mac lalu, Abdul Rashid menzahirkan sokongannya kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan kerajaan negeri pimpinan Pakatan Harapan secara sukarela, namun akan tetap komited kepada parti.

Keputusan tersebut dibuat hanya beberapa hari selepas Bersatu meminda Perlembagaan parti itu bagi menghalang wakil rakyatnya berpaling tadah.

Sebelum itu, enam ahli parlimen Bersatu, terdiri daripada Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) menyatakan sokongan kepada Anwar.

Susulan itu, Bersatu memberi tempoh 14 hari bermula Jumaat lalu kepada semua wakil rakyat mereka untuk menjawab surat arahan bertulis yang diedarkan.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kegagalan mereka berbuat demikian akan menyebabkan keahlian dalam Bersatu terhenti dengan serta merta menurut Fasal 10.4 Perlembagaan Bersatu.

Beberapa arahan tambahan turut diberikan kepada wakil rakyat mengumumkan sokongan kepada pihak lawan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!