PRK Kuala Kubu Baharu: 1,133 polis berkawal pada hari mengundi

SHAH ALAM - Polis Selangor menempatkan 1,133 anggotanya pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), pada Sabtu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, orang ramai, penyokong parti bertanding dan calon diingatkan untuk mematuhi serta menghormati proses PRK kali ini.

Katanya, semua pihak diingatkan tidak menyentuh isu berkenaan 3R (agama, raja, kaum) yang boleh menggugat keselamatan dan ketenteraman awam.

**media[2645752]**

"Polis Selangor memberi jaminan bahawa keselamatan orang awam untuk keluar mengundi terjamin.

"Orang ramai juga dinasihat untuk tidak meletak kenderan di bahu jalan bagi mengelak kesesakan jalan raya sepanjang proses pengundian berlangsung, patuhi arahan pihak polis, harap proses pengundian berjalan baik," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor pada Jumaat.

Tambah beliau, sejak kempen PRK KKB bermula 27 April lalu, polis telah membuka lima kertas siasatanmengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 hasil 10 laporan polis diterima.

Katanya, daripada jumlah kertas siasatan itu, dua tangkapan dibuat dan seorang telah dituduh di mahkamah.

PRK berkenaan yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah Zainuddin (Parti Rakyat Malaysia) dan Nyau Ke Xin Bebas), diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas, akibat kanser.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!