Penyandang lebih hadapi tekanan

SHAH ALAM - Walaupun di atas kertas Pakatan Harapan (PH) mampu mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), namun majoriti bakal diperoleh calon mereka, Pang Sock Tao diramal merosot secara ketara berbanding 4,119 undi diraih mendiang Lee Kee Hiong dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tahun lalu.

Penganalisis politik, Dr G Manimaran berkata, antara punca utama kemerosotan undi dan majoriti adalah kesan gelombang penolakan berterusan pengundi Melayu, terutama golongan muda terhadap PH seperti berlaku semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan PRN lalu.

Malah katanya, ini kali pertama dalam tempoh 16 tahun, PH berhadapan cabaran besar dalam mengekalkan momentum sokongan pengundi kaum India, sebagaimana dialami Barisan Nasional (BN) sejak tahun 2008.

PRK kali ini juga katanya, bakal menyaksikan persaingan sengit dan paling mencabar dalam tempoh dua dekad, antara calon parti kerajaan dan pembangkang dari Perikatan Nasional (PN).

Persaingan sengit itu jelasnya, dapat disaksikan di beberapa pusat daerah mengundi (PDM) termasuklah kawasan Ladang Nigel Gardener, Bandar Baru Kuala Kubu Bharu, Kampung Air Jernih, Kerling, Jalan Kuala Kali dan Batu 30 Hulu Yam berikutan pelbagai faktor.

“Sentimen masyarakat India di DUN KKB sekarang sama ada ‘ya’ atau ‘tidak’, tiada istilah pengundi kelabu, belum membuat keputusan atau atas pagar.

“Malah, pengundi India dalam jumlah yang besar, termasuk penyokong MIC dan PKR, sudah membuat keputusan untuk boikot PRK ini dan jika keluar mengundi, mereka akan pilih calon PN bukannya PH atau kemungkinan menjadikan undi rosak.

“Jadi tiada istilah kawasan kelabu khususnya untuk pengundi kaum India pada PRK kali ini, manakala majoriti pengundi Melayu terutama generasi muda berusia 18 hingga 35 tahun kekal menyokong PN sama seperti semasa PRN, sebelum ini.

“Pengundi Cina yang mengundi PH pada PRN lalu pula akan kekal mengundi PH biarpun terdapat sebahagian kecilnya dikatakan sudah membuat keputusan untuk tidak akan keluar mengundi,” katanya kepada Sinar Premium.

**media[2643389]**

PENGUNDI INDIA JADI KING MAKER

Bagaimanapun, Manimaran menegaskan, pengundi India kekal menjadi king maker dalam menentukan koalisi mana bakal menang Sabtu ini.

Malah beliau menjangkakan hanya sekitar 60 peratus daripada pengundi kaum India yang pernah menyokong PH sebelum ini akan kekal memberikan sokongan kepada gabungan PH.

Kata beliau, sehingga hari Rabu lepas, sukar untuk menentukan calon yang bakal mencapai kemenangan mutlak meskipun peluang memihak kepada calon PH, dengan majoriti dijangkakan jauh lebih kecil berbanding Ogos tahun lalu dan ketika PRU 2018.

**media[2643388]**

“Saya juga tidak menolak kemungkinan terdapat sebahagian kecil penyokong DAP akan memboikot kerana kurang senang dengan pemilihan Sock Tao sebagai calon PH,” kongsinya.

Manimaran juga meramalkan PDM yang mempunyai majoriti pengundi Cina dan campuran seperti Kampung Baharu Kerling, Kampung Baharu Kuala Kubu Baharu, Lembah Beringin, Kampung Baharu Rasa, Pekan Rasa, Kampung Baharu Batang Kali dan Hulu Yam Lama akan kekal kubu kuat PH.

Ujarnya, PN pula dijangka terus memperkukuhkan penguasaan di PDM mempunyai majoriti pengundi Melayu seperti Ampang Pecah, Pertak dan Bandar Utama Batang Kali.

Manimaran berkata, kemerosotan undi PH juga berpunca daripada jentera parti membentuk kerajaan Madani di Putrajaya termasuk dari UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) dan PKR yang didakwa tidak berjuang bermati-matian.

“Biarpun ada pandangan mengatakan PN mampu merampas kerusi DUN KKB, namun saya melihat PH masih boleh mempertahankan kawasan ini dengan majoriti tipis mungkin kurang 500 undi (setakat sentimen awal minggu ini).

**media[2643387]**

“Walaupun PH mendapat sokongan beberapa bekas pemimpin UMNO seperti mantan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib dan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batang Kali, Datuk Zainal Abidin Sakom, namun ia tidak banyak membantu merealisasikan kemenangan besar buat calon DAP,” kata Manimaran.

Tambah beliau lagi, kecuali kepimpinan pusat dan negeri mengambil pendekatan luar biasa dan drastik, sebagai contoh pengumuman solusi penyelesaian isu perumahan bekas pekerja estet di Kuala Kubu Baru pada Ahad lalu, sokongan pengundi India akan merosot.

Dalam pada itu, Manimaran berkata, koalisi pembangkang pula menghadapi masalah kerana jentera Pas dilihat kurang memberikan sokongan dan membantu calon PN menawan kerusi KKB.