PRK KKB lebih sengit berbanding PRN

PILIHAN Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) Sabtu ini menyaksikan persaingan empat penjuru antara Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH memilih Pang Sock Tao, 31, yang juga Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Ngar Kor Ming sebagai calon mewakili Kerajaan Perpaduan, manakala Pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut, 54, menjadi ayam tambatan PN.

Kehadiran calon Bebas, Nyau Ke Xie atau dikenali Eris seperti sudah dijangka dan ia dikaitkan dengan tindakan protes parti Gerakan terhadap PN.

Ini memandangkan Gerakan bertanding di kerusi DUN itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, Ogos tahun lalu.

Kehadiran calon PRM, Hafizah Zainuddin juga dikatakan protes kepada PH kerana tidak meletakkan calon Melayu.

PRM dikatakan parti mesra PH walaupun tidak menyokong Kerajaan Perpaduan.

Di sebalik pembabitan empat calon pada PRK kali ini, tumpuan sebenar pertandingan diyakini hanya terarah antara persaingan Sock Tao dan Khairul Azhari untuk menambat hati 40,226 pengundi di DUN KKB.

**media[2643440]**

Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), seramai 39,362 orang adalah pengundi biasa, manakala 625 pengundi adalah anggota polis dan pasangan, tentera pula seramai 238 orang bersama pasangan serta seorang pengundi luar negara.

Kira-kira 46 peratus pengundi terdiri daripada kaum Melayu, sementara Cina sekitar 30 peratus.

DUN KKB memiliki lebih kurang 7,200 pengundi India atau mewakili 18 peratus daripada keseluruhan pengundi.

Pengundi Orang Asli pula mewakili tiga peratus, manakala selebihnya adalah etnik-etnik lain.

KEKUATAN CALON PARTI

Rekod cemerlang Kee Hiong jadi sandaran

Dengan usia setahun jagung selain pengalaman politik masih hijau, ramai pemerhati politik melihat pemilihan Sock Tao menyerlahkan DNA sebenar DAP dan PH yang tidak takut mempertaruhkan pemimpin muda berpendidikan tinggi dan bertenaga.

Strategi sebegini tampak memberi kesan positif yang besar terhadap sentimen pengundi bukan Melayu di mana segmen itu mengharapkan wakil rakyat pilihan mereka bukan lagi berstatus warlord yang sekadar berkhidmat demi kepentingan politik parti dan peribadi, sebaliknya seorang tenaga muda yang sanggup bekerja keras demi mereka.

“Tidak dinafikan reaksi pengundi bukan Melayu pada PRK kali ini agak pasif. Ada berpendapat kata PRK ini tidak signifikan, ada yang rasa kecewa dengan isu penjualan stoking tertera kalimah ALLAH oleh KK Mart dan ada yang terkesan dengan isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Kini dengan isu perkauman ditimbulkan PN, Sock Tao mempunyai kelebihan untuk menerima kembali sokongan mereka,” kata seorang pengundi Cina, Sun Peng Hock, 75, yang tinggal di Kampung Baru Air Panas, Kerling kepada Sinar Premium.

**media[2643437]**

Selain itu, Sock Tao mungkin perlu berterima kasih kepada mendiang Lee Kee Hiong yang berjaya memberi rekod perkhidmatan cemerlang sepanjang tiga penggal bekas penyandang DUN itu mewakili rakyat KKB.

Bagi seorang anak muda dari Kampung Orang Asli Geraci Jaya, Zulkhairi Ramsit, 24, mendiang Kee Hiong sangat komited dalam menyelesaikan setiap permasalahan warga Orang Asli yang meliputi enam kampung di DUN KKB.

“Walaupun masih ada beberapa isu penting lain seperti permohonan pembinaan jalan berturap ke kawasan kebun durian kami yang belum dilaksanakan, masyarakat Orang Asli berharap perkhidmatan cemerlang diberikan mendiang akan dapat diikuti penggantinya,” kata Zulkhairi.

**media[2643441]**

Potensi ADUN Melayu pertama sejak tahun 1974?

DUN KKB hakikatnya mencatatkan sejarah tersendiri apabila kerusi itu tidak pernah disandang oleh wakil rakyat kaum Melayu sejak mula diwujudkan pada tahun 1974, iaitu 50 tahun lalu.

Didominasi calon-calon MCA pada 1974 hingga tahun 2008 (kecuali kemenangan mengejut DAP merampas sementara kerusi DUN berkenaan pada 1978-1982) sebelum diambil alih PH-DAP sejak empat penggal lalu, terdapat potensi cerah Khairul Azhari mampu memecahkan tembok perkauman itu untuk mencipta kejutan pada PRK kali ini.

Lebih selesa berstatus underdog, Khairul Azhari dengan sokongan penuh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menjadi Pengarah Pilihan Raya PN pada PRK KKB, dilihat agresif memenangi hati pengundi Melayu.

**media[2643434]**

Dengan dua lagi DUN di bawah Parlimen Hulu Selangor iaitu DUN Hulu Bernam dan DUN Batang Kali telah jatuh ke tangan PN termasuk kerusi Parlimen berkenaan pada PRN Selangor tahun lalu, ramai pemerhati politik menjangkakan kerusi DUN KKB sedang menunggu masa untuk dirampas.

Hal ini susulan undi majoriti diperoleh Hee Kiong pada PRN 2023 hakikatnya merosot sebanyak 3,015 berbanding undi majoriti PRU 2018 yang mencatatkan 7,134 undi, kesan gelombang hijau yang tercetus pasca-PRU15.

Ditambah kelebihan Khairul Azhari yang merupakan anak tempatan Parlimen Hulu Selangor dan berasal dari Felda Sungai Tengi, pemimpin Bersatu itu juga pernah berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor pada penggal PRU lalu.

**media[2643428]**

Pendek kata, nama Khairul Azhari bukanlah asing dalam kalangan warga KKB dan ini dijangka memudahkan usaha PN ‘menjual’ nama beliau bagi memikat hati pengundi kawasan itu.

Dengan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainuddin baru-baru ini membayangkan ada peralihan sokongan pengundi India kepada koalisi itu pada PRK kali ini, ada kemungkinan Khairul Azhari boleh menang dengan undi majoriti tipis jika undi Melayu kekal memihak kepada PN.

KELEMAHAN

Dilema fraksi DAP, undi bukan Melayu

Meskipun Sock Tao dilihat menerima sokongan padu daripada partinya iaitu DAP dan PH, terdapat khabar angin mengatakan calon muda lulusan ijazah Kejuruteraan Elektrikal dan Elektronik Universiti Tenaga Nasional (Uniten) itu sebenarnya bukan pilihan utama pemimpin DAP tempatan.

Dengan nama pemimpin lebih senior seperti Mandeep Singh dan pemimpin Melayu, Saripah Bakar dianggap menjadi pilihan, pencalonan Sock Tao seolah-olah menunjukkan berlakunya pemilihan oleh pucuk kepimpinan DAP Pusat berasaskan kuasa veto.

Hal ini susulan nama Mandeep yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Digital, Gobind Singh Deo disebut-sebut paling layak mengisi kekosongan ditinggalkan mendiang Kee Hiong, tetapi tidak terpilih disebabkan dakwaan wujudnya konflik fraksi Gobind Singh dan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dalam parti berkenaan.

**media[2643445]**

Namun, kehadiran Gobind Singh dalam satu program pembukaan cawangan Melayu DAP di KKB bersama Sock Tao mungkin memberi petanda tidak wujud perpecahan seperti didakwa.

Selain itu, dilema terbesar Sock Tao hakikatnya tertumpu kepada peningkatan sentimen tidak puas hati pengundi Cina yang mewakili 30 peratus pengundi berdaftar PRK dan 18 peratus pengundi India terhadap Kerajaan Perpaduan.

Keputusan MCA memboikot kempen PRK calon PH itu juga dianggap tidak membantu usaha Sock Tao.

“Pada PRK kali ini, ramai pengundi Cina beritahu saya yang mereka mahu undi terbalik (enggan sokong PH). Mereka kecewa dengan sentimen perkauman dibawa pemimpin UMNO di peringkat kebangsaan. Pada masa sama, banyak janji kerajaan negeri kepada peniaga Cina seperti agihan lebih banyak lot gerai di Pasar Awam Baharu KKB masih tidak tertunai,” kata peniaga sayur, Yap Tung Fah, 57.

**media[2643449]**

Pada masa sama, kempen pengundi India jangan undi calon PH yang dilancarkan bekas pemimpin India DAP, P Ramasamy sedikit sebanyak memberi kesan negatif terhadap peluang Sock Tao.

“Masyarakat India terutama pekerja estet berdepan masalah pemilikan tanah dan perumahan yang serius meskipun permohonan mendapatkan geran pendudukan tanah dan perumahan awam sudah dikemukakan lebih 30 tahun lalu.

“Kini PH sudah pegang Putrajaya dan Selangor, mengapa isu tuntutan kami masih tidak diselesaikan?” kata pekerja kebun, G Govinda Rao, 63.

**media[2643443]**

Status anak tempatan calon PN dipertikai

Melangkah ke medan pertarungan PRK KKB selaku calon anak Melayu tempatan sepatutnya memberi kelebihan signifikan kepada Khairul Azhari dan PN.

Bagaimanapun, tidak sampai dua hari kempen berlangsung, imej dan kredibiliti Khairul Azhari menjadi persoalan.

Ini kerana beliau bukan sahaja terpalit dengan isu keraguan status kelayakan sijil sarjana diperolehnya dari Universiti Malaysia Pahang (UMP), bahkan dakwaan beliau berhutang dengan along turut menjadi tumpuan pengundi.

**media[2643427]**

Meskipun kedua-dua polemik peribadi itu tangkas dinafikan Khairul Azhari, imej dan kredibiliti beliau sedikit sebanyak sudah tercalar.

Hal ini ditambah dengan keputusan terkini PN mengarahkan pasukan kempen calon Bersatu itu membatalkan kesemua temu janji wawancara eksklusif bersama media-media tempatan.

Selain itu, kempen Khairul Azhari selaku calon anak tempatan yang digembar-gemburkan PN dan Bersatu juga dipertikaikan sebilangan penduduk tempatan sebagai tidak tepat.

Pengerusi Persatuan Sejarah KKB, Md Ridzuan Idris, 63, mendakwa Khairul Azhari sebenarnya langsung tiada kaitan dengan susur galur lokaliti penduduk KKB disebabkan beliau dilahirkan dan dibesarkan di Felda Sungai Tengi, kawasan kampung terletak di DUN Batang Kali.

**media[2643448]**

“Sepanjang beliau berkhidmat sebagai Ahli Majlis Perbandaran Hulu Selangor pun, Khairul Azhari langsung tidak pernah ditugaskan di zon-zon perkhidmatan PBT dalam kawasan DUN KKB.

“Sebenarnya, penduduk di sini terutama orang Melayu pun tidak pernah mengenali beliau selaku orang lokal,” katanya kepada Sinar Premium.

Selain terpalit polemik peribadi, terdapat desas-desus mengatakan pemilihan Khairul Azhari sebagai calon pilihan raya juga tidak mendapat restu pemimpin-pemimpin Bersatu yang menyokong fraksi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau dikatakan merupakan calon pilihan Mohamed Azmin yang diketahui umum merupakan pesaing utama Ketua Pembangkang Dewan Rakyat itu dalam pemilihan Bersatu pertengahan tahun ini bagi jawatan Timbalan Presiden.

Bagaimanapun, kehadiran Hamzah dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menyertai program ceramah perdana PN pada malam Ahad mungkin mampu melenyapkan spekulasi liar berkenaan.

REKOD PENCAPAIAN

Projek Lembah Klang Kedua garis hala tuju PH

Selain rekod perkhidmatan cemerlang Kee Hiong, pengumuman Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada PRN Selangor tahun lalu yang menjanjikan kawasan Hulu Selangor menjadi kawasan Lembah Klang kedua dijangka menjadi sandaran PH untuk mengekalkan kerusi DUN KKB.

Dengan pembangunan kawasan perindustrian pelbagai bidang seperti Lembah Bernam, Bukit Beruntung, kilang Perodua di Serendah dan Proton City di Tanjung Malim, bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib percaya pembinaan jajaran Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang melalui Parlimen Hulu Selangor di Serendah mampu memacu ekonomi penduduk KKB ke tahap lebih baik.

**media[2643430]**

“Dengan adanya jajaran ECRL akan melalui kawasan Hulu Selangor selain perancangan pembinaan satu pelabuhan darat yang besar di Serendah, ia akan memberi impak limpahan ekonomi yang besar terhadap DUN-DUN berdekatan termasuk KKB.

“Justeru, sekiranya kerajaan Pusat pimpinan Anwar bekerjasama dengan kerajaan negeri merealisasikan impian pelaksanaan Lembah Klang Kedua, saya fikir calon Kerajaan Perpaduan akan mempunyai kelebihan besar.

“Ini kerana pada PRK KKB, hanya PH dilihat mempunyai hala tuju ekonomi jelas untuk membangunkan DUN itu, berbanding PN yang sekadar memainkan sentimen politik perkauman ekstrem,” kata Muhammad yang juga Penasihat UMNO Selangor.

**media[2643444]**

PN bergantung pencapaian Azmin

Berbeza dengan calon Kerajaan Perpaduan, tidak banyak yang boleh diperkatakan mengenai rekod pencapaian PN dalam membangunkan kawasan DUN KKB.

Walaupun Parlimen Hulu Selangor dan dua DUN di dalamnya dikuasai wakil rakyat PN, tidak banyak agenda pembangunan ekonomi yang mampu ‘dijual’ koalisi itu dalam tempoh tidak sampai setahun ahli Parlimen dan dua ADUN gabungan itu berkhidmat kepada rakyat.

Secara keseluruhannya, PN bergantung kepada pengalaman dan pencapaian Mohamed Azmin yang pernah bergelar Menteri Besar Selangor selama enam tahun untuk menggariskan hala tuju ekonomi koalisi itu sekiranya mereka memenangi DUN KKB.

**media[2643439]**

Status sebagai pembangkang di peringkat Pusat dan negeri juga tidak banyak membantu PN untuk meyakinkan pengundi bahawa calon mereka mampu membawa perubahan ekonomi dan pembangunan setempat.

Berikutan itu, amat jelas kelihatan majoriti pemimpin PN yang datang berceramah di KKB lebih selesa menggunakan isu kelemahan Kerajaan Perpaduan di peringkat nasional bagi menarik perhatian pengundi.

Isu-isu seperti kenaikan harga barang dan kos sara hidup, kegagalan PH memenuhi janji reformasi institusi dan spekulasi pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan api pada tahun ini dimainkan sepenuhnya PN sejak permulaan tempoh kempen PRK.

Mereka turut menjaja sentimen calon Melayu untuk memujuk 46 peratus pengundi kaum itu supaya terus kekal menyokong PN sebagaimana PRN Selangor tahun lalu.

GERAK KERJA PARTI

Tiga 'kuda tua' UMNO jadi senjata

Di sebalik dakwaan jentera Barisan Nasional (BN) terutama UMNO kurang membantu kempen calon Kerajaan Perpaduan, ramai tidak menyedari terdapat tiga tokoh pemimpin veteran parti itu yang berganding bahu turun padang dan bekerja keras berkempen memujuk pengundi Melayu di keseluruhan 16 pusat daerah mengundi (PDM).

Tiga ‘kuda tua’ UMNO berkenaan ialah bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Muhammad Mat Taib; Pengerusi Yayasan Basmi Kemiskinan, Datuk Zainal Abidin Sakom dan Ketua UMNO Bahagian Hulu Selangor, Datuk Mohd Isa Abu Kassim.

Memulakan gerakan mendekati pengundi Melayu sejak seminggu sebelum hari penamaan calon, gandingan Muhammad atau lebih dikenali Mat Tyson, Zainal Abidin dan Mohd Isa dikatakan memilih kaedah berkempen secara senyap-senyap melalui ceramah kelompok dan program santuni pengundi dari rumah ke rumah.

Perkara itu disahkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid.

**media[2643433]**

“Dengan rekod perkhidmatan Mat Taib selaku Menteri Besar Selangor memang banyak membantu pembangunan ekonomi penduduk Parlimen Hulu Selangor. Saya fikir pengaruh beliau masih besar terutama dalam kalangan penyokong veteran UMNO.

“Saya tidak tolak kemungkinan kehadiran mereka memberi nilai tambah terhadap usaha PH (Pakatan Harapan) mempertahankan kerusi DUN (Dewan Undangan Negeri) KKB (Kuala Kubu Baharu). Sekalipun usaha Mat Taib dan rakan-rakan mampu mengembalikan sekurang-kurangnya 10 hingga 15 peratus pengundi Melayu UMNO, itu pun sudah cukup memadai,” jelas Pengerusi Tekun Nasional itu.

Sementara itu, Muhammad sewaktu ditemui Sinar Premium percaya kejutan besar bakal berlaku pada Pilihan Raya Kecil (PRK) KKB di mana undi Melayu diyakini tidak lagi akan berpihak kepada Perikatan Nasional (PN).

“Saya dapat merasakan gelombang pengundi Melayu yang mahukan perubahan pada PRK KKB lebih ketara berbanding PRN Selangor tahun lalu.

“Jangan terkejut jika calon PH mampu menang dengan undi majoriti jauh lebih besar,” ujar beliau.

SENTIMEN PENGUNDI MENGIKUT KAUM

Undi India samar, Melayu dan Cina sudah ada pilihan

Sepanjang lebih seminggu Sinar Premium berkampung di Kuala Kubu Baharu (KKB), suasana kempen pilihan raya dalam kalangan penduduk dilihat agak lesu dengan parti-parti politik bertanding lebih memilih pendekatan berkempen secara kecil-kecilan berbanding ceramah perdana.

Warga KKB juga seolah-olah kurang teruja dengan pendekatan kempen diusahakan calon-calon bertanding, walaupun pelbagai bentuk program kebajikan dan sumbangan dianjurkan mereka.

**media[2643431]**

Di sebalik suhu Pilihan Raya Kecil (PRK) yang ‘suam-suam kuku’, majoriti pengundi hakikatnya sudah menunjukkan kecenderungan menyokong parti tertentu.

Bagi majoriti 12,182 pengundi Cina, rata-rata mereka lebih berkecenderungan untuk mengekalkan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan (PH) sekalipun sebahagiannya kecewa dengan sikap pemimpin DAP dalam mendepani beberapa isu penting dalam Kerajaan Perpaduan.

Warga emas, Sun Peng Hock, 75, berkata, meskipun kaum Cina kesal dengan sikap pemimpin DAP yang kurang agresif mempersoalkan tindak-tanduk segelintir pemimpin UMNO membangkitkan isu berbaur perkauman, mereka tiada pilihan lain.

“Kita tidak boleh membiarkan gelombang hijau (Perikatan Nasional-PN) berterusan mengancam masa hadapan pengundi bukan Melayu,” kata Peng Hock yang mengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kerling.

Bagi 18,872 pengundi Melayu, terdapat kecenderungan besar segmen itu menyokong calon PN berdasarkan keterujaan mereka berpotensi menerima calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melayu pertama dalam tempoh 50 tahun.

Peniaga warung di Pasar Awam KKB, Ali Md Alip, 69, mengakui keputusan PN mempertaruhkan calon Melayu sememangnya menaikkan semangat sebilangan besar pengundi segmen itu untuk keluar mengundi.

**media[2643432]**

“Kita sudah lama terima wakil rakyat bukan Melayu. Bukan saya hendak kata perkhidmatan mereka tidak baik, tetapi opsyen pemilihan ADUN Melayu memberi ruang orang Melayu untuk mendapat wakil kaum mereka sendiri,” katanya.

Sentimen sama turut dikongsi penduduk Taman Perumahan Bandar Baru Utama Batang Kali, Rushaizi Rusdi, 52, yang menganggap pemilihan ADUN Melayu pertama di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu amat penting bagi menyelesaikan pelbagai isu tempatan melibatkan kaum berkenaan.

**media[2643435]**

Pandangan berbeza sebaliknya dikemukakan Noorzamira Zulkifli, 38, yang merasakan status etnik kaum seorang wakil rakyat tidak seharusnya dijadikan faktor utama pengundian.

“Sepatutnya faktor kaum tidak wajar menjadi alasan pemilihan wakil rakyat, sebaliknya rekod pencapaian wakil rakyat atau hala tuju parti yang perlu diukur,” katanya yang tinggal di Bandar KKB.

**media[2643435]**

Begitu juga dengan lebih 1,200 pengundi Orang Asli, majoriti mereka dipercayai cenderung memilih calon PH pada PRK kali ini.

“Majoriti masyarakat Orang Asli masih mengharap pelbagai pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di kampung-kampung mereka. Buat masa ini, kita masih beri peluang kepada kerajaan sedia ada untuk menunaikan permohonan kami,” luah Ramis Ramsit, 24.

**media[2643429]**

Bagaimanapun, undi kaum India dilihat masih samar dan belum menampakkan corak kecenderungan kepada parti tertentu.

Di kawasan bandar, rata-rata pengundi kaum itu yang ditemui berpendapat status quo pemilihan ADUN daripada Kerajaan Perpaduan perlu dikekalkan demi kesinambungan perancangan pembangunan kaum itu.

Pemandu lori, K Chinnaiya, 67, berkata, pengundi India tidak perlu terpengaruh dengan sentimen-sentimen menolak kerajaan sedia ada yang dimainkan pemimpin India dari luar KKB.

**media[2643446]**

Bagaimanapun, seorang pekerja estet yang enggan dinamakan memberitahu, majoriti masyarakat India kelas bawahan berkemungkinan enggan keluar mengundi atau beralih sokongan kepada PN.

“Melainkan Menteri Besar Selangor memberi jaminan akan menyelesaikan isu-isu tempatan melibatkan kaum India di sini secepat mungkin,” katanya.

**media[2643451]**

RUMUSAN TINJAUAN KEMPEN PRK

Undi enam PDM 'kelabu' petunjuk keputusan PRK

Dengan kempen PRK DUN KKB berbaki 48 jam sahaja lagi, segala kemungkinan masih boleh berlaku.

Berdasarkan tinjauan di keseluruhan 16 kawasan pusat daerah mengundi (PDM) di DUN KKB, enam PDM dikenal pasti sebagai kawasan ‘kelabu’ yang sukar ditentukan kemenangan sama ada berpihak kepada PN atau Kerajaan Perpaduan.

**media[2643450]**

Enam kawasan PDM itu ialah Ladang Nigel Gardener, Bandar Baru Kuala Kubu Baharu, Kampung Air Jernih, Kerling, Jalan Kuala Kali dan Batu 30 Hulu Yam yang mana kesemuanya merupakan kawasan campuran.

Untuk kawasan ‘putih’ yang dijangka kekal dikuasai calon PH kerana mempunyai majoriti pengundi Cina dan campuran, sejumlah tujuh PDM dikenal pasti.

Kawasan PDM berkenaan ialah Kampung Baharu Kerling, Kampung Baharu Kuala Kubu Baharu, Lembah Beringin, Kampung Baharu Rasa, Pekan Rasa, Kampung Baharu Batang Kali dan Hulu Yam Lama.

**media[2643436]**

Sementara itu, bagi kawasan ‘hitam’ yang dikuasai PN pada PRN Selangor tahun itu, sejumlah tiga PDM disenaraikan iaitu Ampang Pecah, Pertak dan Bandar Utama Batang Kali.

Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mengunjurkan persaingan PRK kali ini sangat sengit dengan undi tiga kawasan PDM bakal menjadi petunjuk kemenangan parti bertanding.

**media[2643438]**

Jelasnya, mana-mana calon di antara PN dan PH berpeluang memenangi PRK ini sekiranya mereka mampu menawan kawasan PDM Bandar Utama Batang Kali (Ligamas) yang terdiri majoriti pengundi Melayu, PDM Ampang Pecah dan PDM Kerling yang masing-masing merupakan kawasan campuran.

“Setakat ini, peluang calon PN dan PH masih lagi 50-50,” ujar bekas timbalan menteri dari DAP itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!