'Ambil tindakan tegas, arah keluar Malaysia segera' - Tun M

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa Kementerian Pertahanan mengambil tindakan tegas dan mengarahkan syarikat yang menjadi pembuat senjata kepada Zionis untuk keluar dari Malaysia dengan segera.

Beliau berkata, walaupun pembabitan mereka atas anjuran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) dengan kerjasama Kementerian Pertahanan tetapi ia sesuatu yang amat menjengkelkan serta penghinaan kepada perjuangan rakyat Palestin.

“Memang benar mereka pernah hadir di dalam anjuran-anjuran terdahulu tetapi keadaan kali ini amat luar biasa dan genosid Zionis terhadap Palestin begitu kejam tanpa sedikit perikemanusiaan.

“Membenar syarikat-syarikat sedemikian, seolah-olah memperolok dan mempersenda segala usaha kita menentang kekejaman rejim Tel Aviv.

“Kita seolah-olah bersekongkol dengan mereka menumpah darah rakyat Palestin termasuk bayi, kanak-kanak dan orang awam yang lain,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial, Facebook pada Isnin.

Sebelum ini, Ketua Biro Antarabangsa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Saifuddin Abdullah mendesak kerajaan supaya mengharamkan penglibatan dua syarikat yang bersubahat dengan Israel, Lockheed Martin dan BAE daripada menyertai dan menjadi penaja platinum Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

Menurut Saifuddin, dua syarikat tersebut membekal senjata dan peralatan kepada Israel yang sedang melakukan genosid ke atas Palestin, terutamanya di Gaza.

Susulan itu, Dr Mahathir menegaskan, syarikat berkenaan perlu tahu bahawa tiada tempat di Malaysia untuk mana-mana pihak yang menyokong atau bersubahat dengan Israel.

“Tindakan ini tidak terhad kepada dua syarikat tersebut.

"Jika ada syarikat-syarikat lain yang membekal senjata kepada rejim Zionis masa kini, mereka juga perlu dinyah keluar dari Malaysia,” ujarnya.

**media[2640532]**

Sementara itu, Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menegaskan kerajaan perlu mempertahankan prinsip perjuangan dalam membela nasib rakyat Palestin yang menjadi mangsa genosid keganasan Israel.

Menurutnya, negara perlu tegas dengan menghentikan sebarang perdagangan dengan Israel.

“Kita harus tegas. Kalau Turkiye boleh hentikan perdagangan dengan Israel, apatah lagi Malaysia.

"Kita perlu menghentikan sebarang bentuk perdagangan pembelian senjata daripada syarikat yang jelas menyokong dasar Amerika Syarikat (AS) dan Israel dalam membunuh rakyat Palestin tidak berdosa.

“Saya setuju dan senada dengan rakan saya, Saifuddin dan Tun M, untuk kita menghalang, tidak membenarkan syarikat-syarikat yang disyaki membantu, membantai, membunuh rakyat Palestin,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!