'Kerajaan negeri Perlis tidak lagi bersih' - Mohd Razlan

SHAH ALAM - UMNO mendakwa kerajaan negeri Perlis yang dipimpin oleh Pas tidak lagi bersih terutamanya dalam soal tatacara pentadbiran.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata, kepincangan itu adalah disebabkan ‘kuasa mutlak’ yang dimiliki pentadbiran dalam membuat keputusan kerana ketiadaan ahli pembangkang.

“Isu lebih besar sekarang siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap beliau selain penahanan reman anaknya yang juga menantu Presiden Pas telah mencemarkan nama kerajaan Perlis.

“Sudahlah anaknya ditahan berkait kes pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000, selepas itu menteri besar pula disiasat kerana salah guna kuasa.

“Inilah akibatnya apabila sesebuah kerajaan itu ada 'ultimate power' dalam membuat keputusan kerana tiada pembangkang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Sebelum ini, media melaporkan Mohd Shukri hadir di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya bagi memberi keterangan berhubung siasatan isu salah guna kuasa membabitkan pelaksanaan projek pembangunan prasarana termasuk membaik pulih, menyelenggara, pembekalan dan perkhidmatan di seluruh Perlis sejak 2022.

Pada 24 April lalu, anak kepada Menteri Besar Perlis antara enam individu yang direman oleh SPRM bagi membantu siasatan pemalsuan dokumen tuntutan palsu berjumlah RM600,000.

Sumber berkata, turut direman ialah pegawai kanan pejabat Menteri Besar Perlis.

Mengulas lanjut, Mohd Razlan berkata, perkara yang berlaku di Perlis harus menjadi pengajaran buat rakyat agar mempertimbangkan semula untuk memberikan kuasa mutlak kepada sesebuah parti atau gabungan bagi mentadbir negeri.

Ujar beliau, keadaan itu akan mewujudkan satu suasana tidak sihat antara pemimpin dalam pentadbiran kerajaan negeri.

“Tanpa suara pembangkang, siapa yang akan menegur kepincangan pentadbiran kerajaan negeri, khususnya ketika sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kerana hampir semua wakil rakyat dari blok parti yang sama?

“Takkanlah ahli DUN dari parti yang sama berani menegur menteri besar?” soalnya.

Pada masa sama, Mohd Razlan turut mendakwa bahawa slogan ‘Perikatan Nasional (PN) Best’ tidak lagi relevan untuk digunakan di Perlis.

“Mungkin boleh ditukar menjadi 'Anak Menantu Best'... slogan ini kedengaran lebih menarik,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!