'Pengundi India sudah berani sokong PN' - Hamzah

HULU SELANGOR - Masyarakat India di Kuala Kubu Baharu kini lebih terbuka menyatakan hasrat untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya kecil (PRK), Sabtu ini.

Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mendakwa, perkara itu hasil culaan dan tinjauan yang dibuat pemimpin serta jentera gabungan itu sepanjang kempen di daerah berkenaan.

“Mereka (kaum India) sudah berani menyatakan untuk menyokong sesiapa dan berani mengutuk segala polisi kerajaan.

"Kalau dahulu bila kita pergi rumah ke rumah, mereka agak diam dan tak mahu sebut tentang masalah serta polisi kerajaan.

“Ini memberikan satu peluang kepada calon kita (Khairul Azhari Saut) apabila melihat keikhlasan pengundi yang bukan hanya duduk bincang bersama, tetapi memaklumkan masalah mereka," katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra PN bersama masyarakat India di Batang Kali, malam Ahad.

**media[2639394]**

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu merangkap Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Presiden Parti Rakyat India Malaysia (MIPP), S P Punithan.

Dalam pada itu Hamzah memaklumkan, keberadaan parti baharu berteraskan kaum India, MIPP mengukuhkan lagi sokongan golongan itu kepada PN.

Menurutnya, parti di bawah kepimpinan Punithan itu membuka ruang dan peluang kepada PN untuk mendengar keluhan serta rintihan kaum India, sekali gus meraih undi mereka.

"Saya bersyukur kerana MIPP telah memberikan satu lonjakan minat kepada kaum India kepada PN,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!