PRK KKB: Kempen calon PN capai 70 peratus

HULU SELANGOR - Berbaki lima hari tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Perikatan Nasional (PN) telah mencapai lebih 70 peratus kawasan bertemu pengundi.

Calonnya, Khairul Azhari Saut berkata, kempen tersebut meliputi kawasan Felda, pasar pagi dan peniaga-peniaga di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.

"Saya rasa PN sudah kempen lebih 70 peratus di semua PDM (pusat daerah mengundi), dari sempadan kawasan Kerling hingga ke sempadan Batu 30, Batang Kali.

"Ada juga kawasan yang belum kita masuk, kerana calonnya hanya seorang daripada PN, jadi saya kena ikut mana yang kita telah tetapkan," katanya ketika ditemui di pekan Kuala Kubu Baharu pada Ahad.

Dalam pada itu Khairul Azhari yang juga pemangku Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) Kuala Kubu Baharu memaklumkan, aktiviti berkempen berjalan lancar selain penerimaan pengundi sangat positif.

“Mereka beri kita kata-kata semangat dan saya harapkan doa daripada pengundi kawasan. Sekurang-kurangnya dapat doa pun sudah cukup,” ujarnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang optimis gabungan itu akan merampas kerusi kawasan berkenaan, Khairul Azhari berkata, sebagai calon beliau akan berusaha untuk menang pada 11 Mei ini.

Justeru, beliau dan jentera parti perlu lebih agresif dalam siri kempen supaya sasaran parti dapat direalisasikan.

"Kita tahu peratusan keluar mengundi pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) mahupun PRN agak membimbangkan, hanya sekitar 67 peratus.

"Jadi kalau PN nak menang, sekurang-kurangnya kena dapat 80 peratus (pengundi yang keluar mengundi).

“Oleh itu jentera kena kerja kuat untuk memastikan semua pengundi dapat keluar pada hari tersebut,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!