PN boleh menang jika 80 peratus keluar mengundi - Azmin

HULU SELANGOR - Perikatan Nasional (PN) memerlukan kira-kira 80 peratus pengundi untuk keluar mengundi bagi membolehkan gabungan itu menang selesa pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Pilihan Raya PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sasaran berkenaan mengambil kira sentimen serta penerimaan pengundi kawasan tersebut terhadap calonnya, Khairul Azhari Saut.

"Kita ada enam hari, saya mahu sekurang-kurangnya 80 peratus pengundi wajib keluar.

“Saya beri jaminan berdasarkan laporan risikan dan culaan di lapangan yang kita buat, (jika) 80 peratus pengundi keluar mengundi, Kuala Kubu Baharu akan milik PN pada 11 Mei ini,” katanya ketika Ceramah Umum PN di Ampang Pecah, malam Sabtu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin yang juga Ketua Pembangkang Selangor menjelaskan, jentera PN akan memanfaatkan baki lima hari ini untuk berkempen dengan lebih agresif.

Malah beliau berharap momentum sedemikian dapat diteruskan sehingga hari mengundi Sabtu depan.

"Saya baru sahaja menerima laporan, hari ini sahaja mereka menyentuh 7,000 pengundi di beberapa (Pusat Daerah Mengundi) kawasan.

"Esok (hari ini) akan diteruskan dan kita jangka seramai 15,000 pengundi akan jumpa dan ziarah,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!