Calon PH akan berkhidmat untuk semua rakyat KKB - Anthony

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao akan berkhidmat untuk semua rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu tanpa mengira kaum atau agama sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK), 11 Mei nanti.

Jaminan itu diberikan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook kerana ia selari dengan konsep diamalkan Kerajaan Perpaduan.

"Betul dia (Sock Tao) Cina, tapi bila jadi wakil rakyat akan kerja untuk semua. Jaga Melayu, India, Cina, Orang Asli dan lain-lain. Itu politik yang kita amalkan.

"Jadi, jangan termakan dengan unsur perkauman (yang dimainkan pihak lawan). Kononnya kita hendak pilih calon daripada kaum kita sahaja. Ini tidak benar.

"Kita perlu ingat, Malaysia masyarakatnya majmuk. Hari ini antara yang benar-benar bekerjasama antara kaum ialah Kerajaan Perpaduan antara PH dan Barisan Nasional (BN)," katanya ketika turun berkempen di sini.

Tambah Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban, Sock Tao juga merupakan calon terbaik untuk menggantikan mendiang Lee Kee Hiong bagi meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat di kawasan yang terkenal dengan ekopelancongan itu.

"Kita tampilkan Sock Tao yang merupakan calon muda, wanita berkelayakan, bertenaga dan dinamik untuk jadi wakil rakyat dan wakil kerajaan di Kuala Kubu Baharu nanti.

"Jadi, saya harap 11 Mei nanti, kita dapat kekalkan Kuala Kubu Baharu agar lebih banyak pembangunan untuk penduduk dapat dilaksanakan," katanya.

Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu, merangkumi 46 peratus pengundi Melayu, Cina (30 peratus), India (18 peratus) dan lima peratus pengundi lain, termasuk Orang Asli.

Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.

SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan adalah pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!