'Pengundi sekarang bijak menilai' - Razali

HULU SELANGOR - Strategi pihak lawan yang menggunakan isu peribadi untuk menyerang calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut, gagal kerana pengundi lebih bijak membezakan antara tanggungjawab dan perkara personal.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris menegaskan, isu berkenaan sudah tidak relevan dijadikan modal kempen ekoran rakyat menilai kerja yang dilakukan.

"Kalau isu peribadi, dulu bolehlah (guna). Isu kahwin dua, berhutang, ini semua isu tahun 90-an. Sekarang rakyat dah 'move on', (bezakan) apa yang kamu buat, apa yang kami buat.

"(Datuk Seri) Azmin Ali pernah jadi Menteri Besar Selangor, sekarang (Datuk Seri) Amirudin Shari. Rakyat nak tengok perbezaan itu.

"(Tan Sri) Muhyiddin pernah jadi Perdana Menteri, sekarang (Datuk Seri) Anwar pula. Orang tengok dahulu lebih baik dan yang ada sekarang, menindas pembangkang," katanya ketika ditemui selepas program ceramah kelompok PN di Kuala Kubu Baharu pada malam Jumaat.

Sebelum ini Khairul Azhari yang juga pemangku Ketua Bersatu Hulu Selangor terpalit kontroversi mengenai hutang hampir RM40,000 melibatkan perkhidmatan kredit komuniti.

Sementara itu ditanya sama ada isu yang dibangkitkan termasuk boikot Pas ketika hari penamaan calon, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu menegaskan, perkara itu diwujudkan untuk melagakan parti komponen dalam PN.

"Isu (melagakan) yang diadakan sangat 'nipis' sebab sekarang jentera Pas, Bersatu dan Gerakan padu di Kuala Kubu Baharu, boleh lihat sendiri (gerak kerja) di pusat daerah mengundi.

"Pemimpin kadang-kadang ada hal masing-masing juga, jadi kita agihkan tugas.

"Kita tidak berkumpul, berarak bersama pemimpin semata, bukan macam itu strategi perang," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!