Kemelut PKR Sabah: Tunggu Anwar umum Pengerusi MPN

KOTA KINABALU - Keputusan pelantikan pengerusi baharu Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah akan dibuat serentak bersama beberapa negeri lain, kata Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kota Belud, Datuk Mustapha Sakmud.

Beliau berkata, semua pihak diminta bersabar untuk menunggu keputusan daripada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu.

"Kalau boleh kita tunggulah keputusan yang akan dibuat oleh Presiden parti, beliau memang menjanjikan jadi diminta dapat bersabar dan keputusan akan dibuat bersama dengan beberapa negeri yang juga akan bertukar pengerusinya.

"Presiden sedang merangka untuk melawat beberapa negeri lagi jadi beliau mahu buat serentak. Jadi kita tunggu saja sementara ada banyak isu lain yang perlu kita selesaikan di peringkat negeri atau negara," katanya kepada pemberita pada majlis makan malam bersama pengamal media Sabah di Restoran Tanjung Seafood Tanjung Aru pada malam Jumaat.

Ditanya sama ada beliau antara yang disenaraikan sebagai calon pengerusi baharu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi secara berseloroh berharap namanya antara dikemukakan untuk menerajui MPN Sabah.

"Itu kena tanya Perdana Menteri, dia kata ada 12 nama jadi saya pun harap-harap ada nama saya terselit," katanya berseloroh.

Mustapha sebelum ini menyatakan kesediaannya untuk mengalas tanggungjawab sebagai Pengerusi MPN susulan berlakunya kemelut dalam pimpinan parti itu di Sabah.

Pengerusinya, Datuk Sangkar Rasam diminta untuk melepaskan jawatannya selepas 15 ketua cabang PKR menolak kepimpinan beliau menerajui PKR Sabah.