'Mereka tak terima hakikat kaum India sedang marah'

SHAH ALAM - Pengasas Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai), P Ramasamy mendakwa majoriti pemimpin Kerajaan Perpaduan termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengkritik beliau kerana enggan menerima hakikat kemarahan pengundi India terhadap kerajaan hari ini.

Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II itu berkata, Anwar dan DAP perlu menyedari sentimen ketidakpuasan masyarakat India terhadap Kerajaan Perpaduan sebenarnya sudah menular ke seluruh negara.

Tambahnya, ini kerana segmen kaum itu merasakan kepentingan mereka semakin dipinggirkan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Jelas Ramasamy, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke tidak perlu memainkan sentimen peribadi dengan mendakwa kempen Urimai mengajak pengundi India tidak menyokong calon Pakatan Harapan (PH) adalah disebabkan beliau dan beberapa bekas pemimpin India DAP tidak diberi ruang bertanding pada pilihan raya lalu.

“Ini bukan soal sentimen peribadi. Tetapi ini berkenaan suara kekecewaan pengundi India terhadap kesungguhan Anwar, PH dan DAP dalam menunaikan janji-janji mereka untuk membela nasib kaum India terutama golongan bawahan.

“Dengan pengundi India kini merasakan Anwar dan PH lebih gemar bermain drama politik, mereka turut kecewa dengan sebilangan besar pemimpin India dalam DAP dan PKR yang dilihat lebih selesa menjadi ‘pak turut’ Anwar dalam Kerajaan Perpaduan," katanya kepada Sinar Premium.

Pada Rabu, Anwar yang juga Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan menafikan kerajaan meminggirkan masyarakat India sejak menerajui pentadbiran negara.

Dipercayai merujuk kepada dakwaan Ramasamy, Anwar berkata, pemimpin berkenaan cuba menghasut masyarakat India supaya membenci kerajaan.

Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP turut menyerang Ramasamy dan mereka yang sehaluan dengannya kerana berkempen menentang PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) ini Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Mengulas lanjut, Ramasamy mendedahkan antara faktor kemarahan pengundi India terhadap kepimpinan Anwar adalah disebabkan kegagalan beliau melantik seorang pemimpin India yang fasih berbahasa Tamil sebagai salah seorang menteri Kabinet.

“Keputusan itu menggores perasaan pengundi India kelas bawahan dan pertengahan. Ini kerana mereka merasakan hanya golongan elit kaum itu sahaja yang diberi tempat.

“Selain itu, keseluruhan peruntukan dana kepada masyarakat India yang kurang daripada RM200 juta, berbanding peruntukan kaum bumiputera dan kaum Cina yang lebih signifikan seolah-olah memberi isyarat kerajaan tidak serius menangani masalah kaum kami,” katanya.

Berikutan itu, Ramasamy mengunjurkan sekiranya kadar peratusan keluar mengundi masyarakat India melebihi 80 peratus dengan 60 peratus daripadanya cenderung menolak calon Kerajaan Perpaduan, maka kerusi berkenaan berpotensi jatuh ke tangan Perikatan Nasional (PN).

“Berdasarkan pengamatan di lapangan PRK, saya jangka akan berlaku penurunan kadar peratusan keluar mengundi untuk semua kaum terutama kaum India, soalnya berapa peratus akan turun.

“Cuma jika masyarakat India memang bertekad hendak menjadikan PRK KKB sebagai referendum, saya tidak tolak kemungkinan jumlah peratusan keluar mengundi akan meningkat berbanding Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu.

“Sekiranya senario itu benar-benar berlaku, saya yakin mereka akan memberi pengajaran kepada pemimpin India PH dan DAP supaya jangan terlalu mengambil ringan sentimen masyarakat sesuatu kaum,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!