Henti amalan ‘jual mimpi’ kepada rakyat

ALOR SETAR - Kerajaan negeri Kedah bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Noor didakwa sering melontarkan kenyataan retorik selain gemar ‘menjual mimpi’ melalui pengumuman projek mega kepada rakyat.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Asmirul Anuar Aris berkata, perbuatan itu hanya merugikan masa depan rakyat dan negeri semata-mata.

Menurutnya, kerajaan negeri sewajarnya memberi tumpuan kepada agenda pembangunan negeri serta melaksanakan terlebih dahulu projek-projek mega yang telah diumumkan sebelum ini.

“Amanah Kedah terkejut dengan pengumuman kerajaan negeri mahu bangunkan sistem pengangkutan rel kereta api laju maglev di Pulau Langkawi.

“Ibarat pepatah politik, kerajaan Kedah ketika ini sedang menjanjikan untuk bina sebuah istana atas awan.

“Janji tersebut tidak akan dapat dilaksanakan melainkan ia sekadar kenyataan bersifat retorik,” katanya di sini pada Khamis.

Pada Isnin, Muhammad Sanusi menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Permodalan Kedah Berhad (PKB) dengan syarikat dari Korea, Royal Eco Train Development (RETD) di Wisma Darul Aman.

Kerjasama itu bagi membolehkan satu kajian menyeluruh dilakukan mengenai potensi perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) menggunakan sistem teknologi levitasi magnet (maglev) dan pembangunan berorientasikan transit (TOD) dibangunkan di Pulau Langkawi.

Asmirul Anuar turut senada dengan kenyataan Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin sebelum ini yang dilaporkan berkata, masalah dihadapi Muhammad Sanusi ialah gemar ‘bermimpi sampai ke bintang’ namun tindakannya tidak selari dengan angan-angannya.

“Daripada pemerhatian saya, sejak Sanusi menjadi Menteri Besar, banyak projek yang diumumkan berskala projek mega namun ironinya, tanpa fikir panjang penyokong beliau telan bulat-bulat tanpa melihat fakta dan realiti sebenar,” katanya.

Dalam pada itu, Asmirul Anuar turut membangkitkan persoalan berhubung status projek mega lain yang diumumkan sebelum ini.

“Saya rasa rakyat juga ingin tahu status, apa berlaku pada projek Widad Langkasuka di Langkawi bernilai RM40 bilion yang diumumkan Sanusi, disaksikan oleh Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 30 Mac 2021 dalam majlis di Kuala Lumpur.

“Ke mana perginya pelabur yang digembar-gemburkan, syarikat dari Timur Tengah, Bin Zayed? Syarikat itu pun sudah hilang ke mana, pemegang saham utama syarikat Widad pula dikatakan melupuskan sahamnya dalam syarikat itu,” jelasnya.

Menurutnya lagi, oleh itu seeloknya Sanusi menguruskan terlebih dahulu projek berkaitan masalah bekalan air dan menyiapkan litar lumba Sungai Petani yang merupakan projek berkepentingan awam.

“Sudah lama anak muda ternanti-nanti untuk gunakan trek litar lumba tersebut. Jadikan ia kenyataan sebelum bangunkan projek rel maglev di Langkawi.

“Rakyat Kedah jangan percaya semua perancangan kerajaan negeri, ia semata-mata suatu episod baharu ‘menjual mimpi kosong’ bagi mengalih isu mengenai kelemahan pentadbiran kerajaan negeri ketika ini,” jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!