PRK KKB: Pemuda PN fokus 5 kawasan raih undi anak muda

HULU SELANGOR - Pemuda Perikatan Nasional (PN) memberi tumpuan kepada lima kawasan di daerah ini sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Pemuda PN, Muhammad Hilman Idham menjelaskan, kawasan tersebut melibatkan Batang Kali, Ampang Pechah, Jalan Kuala Kali, Bandar Kuala Mubu Baharu dan Kampung Sungai Jernih.

"Kita telah melancarkan jentera Pemuda PN sehari sebelum pengumuman calon minggu lalu.

"Tumpuan diberi kepada kawasan berkenaan kerana pada penilaian kita, jumlah undi muda bawah umur 40 tahun tinggi dan dalam masa sama berpotensi memberi sokongan kepada PN," katanya ketika sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN di Batang Kali pada Selasa.

Dalam pada itu, Muhammad Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia menegaskan, pihaknya yakin dengan angin perubahan sokongan ketika ini selain sentimen rakyat peringkat akar umbi yang tidak berpuas hati dengan prestasi kerajaan.

Malah ujarnya, belia kini lebih berani memberi 'amaran' kepada kerajaan untuk beralih sokongan menjelang PRK minggu depan.

"Anak muda Kuala Kubu Baharu mendambakan pelbagai kemudahan dan fasiliti termasuk inisiatif yang boleh memangkin pendapatan serta ekonomi masyarakat setempat.

"Oleh itu, kita yakin mereka akan memberikan sokongan kepada PN pada 11 Mei nanti," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!