Calon PH tayang sijil UPSR 7A, SPM 10A

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao menyahut cabaran Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari supaya menunjukkan kelulusan pendidikan rendah dan menengahnya.

Menerusi hantaran di Facebook pada Isnin, calon berusia 31 tahun itu 'menayangkan' keputusan cemerlang diperolehnya dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berdasarkan sijil yang dimuat naik itu, Sock Tao yang merupakan bekas pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) On Pong Ampang, Hulu Langat, Selangor memperoleh 7A bagi UPSR.

Bagi keputusan SPM pula, bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang menamatkan persekolahan di Sekolah Menengah (SM) Chung Hua Port Dickson, Negeri Sembilan itu mendapat 10A.

"Yang Berhormat Pasir Mas, Tuan Ahmad Fadhli Shaari bertanya tentang UPSR dan SPM saya...Inilah jawapannya.

"Saya terhutang budi kepada guru-guru yang pernah mengajar saya. Ucapan terima kasih sahaja memang tidak cukup sebagai balasan atas jasa bakti yang telah dicurahkan dalam mendidik saya," katanya.

Ahmad Fadhli menerusi Facebooknya pada Ahad mencabar anak kelahiran Ampang, Selangor menyatakan tahap pendidikan rendah dan menengahnya.

Isu berkaitan pencapaian pendidikan calon menjadi kontroversi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu susulan wujud dakwaan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut mengemukakan sijil palsu.

Bagaimanapun, isu tersebut selesai selepas Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) mengesahkan sijil Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dimiliki Khairul Azhari.

Dalam pada itu, Sock Tao dalam masa sama turut menzahirkan penghargaan buat kedua ibu bapanya.

"Terima kasih juga kepada ibu bapa saya yang tidak pernah mengabaikan pendidikan anak-anak mereka," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!