Nafi boikot calon, jentera Pas 'solid' di KKB

HULU SELANGOR - Pas menafikan dakwaan wujud unsur boikot calon Perikatan Nasional (PN) susulan ketiadaan pemimpin parti itu pada hari penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Malah Ketua Pemuda Pas Selangor, Mohamed Sukri Omar menegaskan, jentera Pas pusat dan negeri sudah berada di daerah itu sejak pengumuman calon PN pada 25 April lalu.

"Tidak timbul soal boikot kerana saya sendiri turun, Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk (Dr) Ab Halim Tamuri turut hadir selain jentera Pas pusat serta penerangan, semua ada di Kuala Kubu Baharu sejak awal.

"Kalau boikot, pastinya jentera pun tiada. Hari ini juga seluruh kawasan Selangor dan negeri telah hantar jentera untuk bantu kempen termasuk dari Pahang, Melaka, Perak dan lain-lain," katanya pada sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama (BGU) PN di Batang Kali pada Isnin.

Sebelum ini Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari menjelaskan ketidakhadiran pemimpin utama parti itu disebabkan penganjuran Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas 2024 di Perlis dan keputusan untuk mengadakan acara tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pas Pusat sebelum Ramadan.

Dalam pada itu Mohamed Sukri turut memaklumkan, pelarasan jadual pimpinan tertinggi Pas untuk bersama dalam kempen PN di Kuala Kubu Baharu sedang dilakukan mengikut jadual ditetapkan.

Menurutnya, semua pihak akan terlibat termasuk pemimpin sayap Pemuda dan Muslimat yang akan diselaraskan oleh BGU PN.

"Pakatan Harapan (PH) mainkan isu seolah-olah Pas boikot untuk menunjukkan ketidakseimbangan dalam PN, sedangkan konflik itu berlaku dalam parti komponen Kerajaan Perpaduan kerana ada yang tidak turun berkempen bagi pihak mereka.

"Sedangkan PN sangat harmoni gerak kerja di Kuala Kubu Baharu. Kita berbeza dengan MCA sebab jentera Pas solid turun bantu calon PN untuk PRK kali ini," ujarnya.

Sementara itu ditanya sama ada PN akan menghantar petisyen kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan dalam kempen calon PH, Pang Sock Tao, Ketua Pemuda PN itu menegaskan, pihaknya akan mempertimbangkan tindakan susulan dalam masa terdekat.

"Sedang dibincangkan (tindakan) oleh pegawai undang-undang kami dan itu mungkin akan jadi satu perkara yang akan dilakukan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!