'Serangan tentera siber parti lawan bukan masalah besar'

SHAH ALAM - Parti-parti politik yang bertanding bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu perlu menggunakan pendekatan bijak dengan menjawab sebarang bentuk tohmahan secara baik bagi menangkis serangan dan provokasi daripada tentera siber parti lawan.

Ketua Unit Penyelidikan Institut Analisis Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, dalam PRK yang sengit seperti di Kuala Kubu Baharu, sudah pasti setiap pihak yang bertanding akan berusaha memastikan kemenangan calon mereka termasuklah dengan menyerang peribadi calon lawan.

Menurutnya, tindakan tersebut tidak mendatangkan masalah besar selagi mana ia dibuat secara beretika kerana apabila seseorang itu bertanding dalam PRK, segala perkara yang berkaitan dengan diri calon akan diteliti bagi memastikan calon yang menang adalah berintegriti dan kemampuannya untuk mewakili pengundi.

“Calon (Pakatan Harapan) PH yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Pang Sock Tao, umpamanya dipertikai sebab bukan orang tempatan, kerana kaitan rapatnya dengan Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming, atau yang lebih menonjol lagi ialah kerana beberapa ucapan atau kenyataannya yang menyerang pemimpin UMNO, khususnya Datuk Seri Najib Tun Razak dalam PRU14 dan PRU15.

“Ini sesuatu yang lazim kerana PH memerlukan sokongan penyokong Melayu khasnya penyokong UMNO dalam PRK Kuala Kubu Baharu, manakala PN pula mahu melarikan sokongan penyokong Melayu khasnya penyokong UMNO ini daripada PH.

“Apa yang tidak betul dan perlu diperbetulkan oleh pihak PH bila berlaku, hanyalah jika ucapan atau kenyataan Sock Tao dalam PRU14 dan PRU15 ini disebarkan sebagai ucapan atau kenyataannya yang terkini sahaja.

“Begitu juga dengan calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut, yang dipertikai kerana Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya atau Master Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang diperolehinya sama ada ijazah-ijazah ini diperolehi secara sah atau diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), ataupun tidak di mana ini memerlukan PN menjawab persoalan yang ditimbulkan ini dengan baik,” katanya kepada Sinar Ahad.Beliau mengulas tindakan tentera siber, juga penyokong parti bertanding yang melakukan serangan terhadap calon-calon PRK Kuala Kubu Baharu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, faktor calon hanyalah sebahagian daripada pertimbangan yang digunakan oleh pengundi untuk membuat pilihan.

“Apa yang dianggap lebih penting bagi sebahagian lagi pengundi ialah dasar perjuangan dan rekod kepimpinan parti yang diwakili oleh calon serta kemampuan calon untuk menterjemahkan dasar perjuangan dan rekod kepimpinan partinya ini.

“Dari sudut ini, latar belakang calon hanyalah penting dalam konteks ia akan membolehkan calon itu menjadi seorang wakil rakyat yang berkualiti selaras dengan prinsip-prinsip parti serta janji-janji yang akan dibuat olehnya dalam tempoh berkempen nanti,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!