PRK Kuala Kubu Baharu: Calon PN tunjuk bukti kelayakan akademik

HULU SELANGOR - Calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu, Khairul Azhari Saut menunjukkan bukti berkaitan kelayakan akademiknya bagi menjawab isu berkenaan.

Menerusi hantaran di laman Facebook lewat malam Sabtu, pemangku Ketua Parti Pribumi Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor itu memuat naik transkrip serta sijil Ijazah Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan yang diperoleh dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

"Saya mengerti serangan saraf yang ditujukan adalah satu jangkaan yang memerlukan saya bersedia.

"Saya juga sertakan transkrip dan sijil pengajian bagi mengukuhkan apa yang telah dinyatakan pihak UMPSA bagi menenangkan ‘kawan dan lawan’ yang begitu prihatin terhadap isu berlegar," katanya menerusi hantaran itu.

ARTIKEL BERKAITAN:Calon PN sah miliki Sarjana Eksekutif dari UMPSA

ARTIKEL BERKAITAN:[VIDEO] Isu akademik: Khairul Azhari tak mahu komen, fokus pilihan raya

ARTIKEL BERKAITAN:PRK KKB: Khairul Azhari diumum calon PN

Sebelum ini isu berkaitan kelulusan akademik Khairul Azhari mendapat perhatian apabila ramai mempersoalkan kelayakan ijazah sarjana yang dimilikinya tanpa memiliki ijazah sarjana muda.

Menerusi poster pilihan raya yang diedarkan kepada umum menyaksikan beliau memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari UMPSA pada 2021.

Sementara itu beliau turut menggesa mana-mana pihak yang masih mempersoalkan perkara tersebut untuk membuat semakan dengan pihak universiti terlibat.

"Saya diserang di media sosial secara peribadi berkenaan kelulusan akademik. Saya tidak kisah kerana tidak menipu dan sijil yang saya hantar bukan dari Sri Lanka atau Vietnam.

“Sijil yang saya serah itu daripada UMPSA, mereka boleh hubungi universiti untuk mengesahkan apa yang saya ada,” tegasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!