'Terpulang mahu beri peruntukan atau tidak'

SHAH ALAM - Masih tiada perkembangan terbaharu untuk dikongsikan ahli Parlimen pembangkang berhubung draf memorandum persefahaman (MoU) agihan peruntukan tahunan pembangunan kawasan yang sehingga hari ini masih belum dimuktamadkan oleh kerajaan.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perincian terkini untuk dikongsikan berhubung MoU peruntukan terbabit.

Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu juga tidak mengambil peduli apabila ditanya kemungkinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membuat sebarang pengumuman berhubung MoU itu sama ada sebelum atau selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei nanti.

“Saya tiada maklumat (berhubung MoU) dan terpulanglah kepada beliau (Perdana Menteri) sama ada mahu beri atau tidak peruntukan terbabit, saya tidak kisah.

“Dua tahun kita tiada peruntukan apa-apa pun. Kalau beliau mahu bagi, kita ambil. Kalau tidak bagi, tidak mengapa,” katanya kepada Sinar Premium.

Sebelum ini Majlis Pimpinan Tertinggi Sekretariat Kerajaan Perpaduan dilaporkan bersetuju mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada ahli Parlimen pembangkang bagi tujuan pembangunan di kawasan masing-masing.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin juga dilaporkan mengesahkan telah menerima draf peruntukan terbabit namun perincian masih belum diputuskan secara rasmi antara pihak pembangkang dan kerajaan hingga ke saat ini.

**media[2628911]**

Anwar yang juga Presiden PKR dilaporkan tidak menetapkan syarat bahawa ahli Parlimen pembangkang perlu menyokong beliau bagi mendapatkan peruntukan tahunan itu.

Namun, sumber Kerajaan Perpaduan yang enggan dinamakan memberitahu, terdapat dua syarat diunjurkan kerajaan di dalam MoU berkenaan.

Pertama, jaminan blok pembangkang tidak memainkan isu 3R (agama, kaum, raja) atau melemparkan fitnah melampau terhadap kerajaan sepanjang baki penggal pentadbiran.

Syarat kedua, pembangkang perlu memberi jaminan tiada sebarang usaha untuk menjatuhkan Kerajaan Madani menerusi ‘pintu belakang’ melainkan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Berikutnya, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden turut mengakui, tidak mempunyai maklumat berhubung MoU agihan peruntukan tahunan itu.

“Saya tiada ada apa-apa maklumat. Saya hanya tahu melalui berita sahaja,” katanya ringkas.

Turut senada, Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari menyatakan, isu berkenaan MoU peruntukan tahunan pembangunan kawasan ahli Parlimen pembangkang di bawah kendalian pihak Ketua Pembangkang.

“Saya tidak ada apa-apa maklumat, segala berkaitan isu MoU ini termasuk perbincangan dan sebagainya adalah di bawah kendalian Ketua Pembangkang,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Koordinasi Penerangan PKR, Iswardy Morni berkata, setakat ini dia juga tiada perkembangan terkini berhubung MoU peruntukan untuk wakil rakyat pembangkang itu.

**media[2628910]**

“Setakat ini saya tiada apa-apa perkembangan terkini, kena tunggu pengumuman apabila tiba waktunya nanti.

“Bagaimanapun saya berpendapat pihak pembangkang perlu mengemukakan maklum balas, sama ada setuju atau tidak setuju dengan draf MoU tersebut. MoU bersifat dua hala jadi kena ada maklum balas,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!