Pusat penamaan calon PRK Kuala Kubu Baharu dibuka

HULU SELANGOR - Pusat penamaan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor dibuka pada jam 9 pagi ini.

Tempoh proses penamaan calon berlangsung selama satu jam hingga 10 pagi sebelum calon yang layak bertanding diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Yuhanas Auree Kamaruddin.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Pada Pilihan Raya Negeri Ogos tahun lepas, Kee Hiong menewaskan tiga pencabarnya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dengan meraih majoriti undi sebanyak 4,119.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei.

PRK KKB merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada 2022. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!