Parti Asli tarik diri PRK Kuala Kubu Baharu

HULU SELANGOR - Parti Orang Asli Malaysia (Asli) menarik diri daripada bertanding PRK Kuala Kubu Baharu menjelang penamaan calon pada Sabtu.

Memetik laporan sebuah portal, Presiden Rashid Ka’ berkata, keputusan itu dibuat lewat malam Jumaat susulan masalah teknikal yang tidak dapat dielakkan.

"Dukacita saya nak maklum kita (Asli) menarik diri dan tidak akan meletakkan calon dalam PRK Kuala Kubu Baharu.

" Keputusan dibuat disebabkan masalah teknikal. Begitulah nasib kami Orang Asli. Kami sangat sedih, borang pencalonan sudah dibeli dan tunggu nak serah pagi ini, malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga sudah benar kami guna logo Asli tapi tidak kesampaian,” menurut laporan itu.

Menerusi laporan Sinar Harian pada Jumaat memaklumkan, Asli akan menghantar calon mereka bagi PRK Kuala Kubu Baharu.

Sementara itu, PRK Kuala Kubu Baharu dijangka menyaksikan sekurang-kurangnya persaingan tiga penjuru.

Timbalan Pengarah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri, berkata, sebanyak enam borang penamaan calon dibeli beberapa parti politik dan individu persendirian sehingga jam 12.30 tengah hari semalam.

Sebanyak dua borang penamaan calon dibeli Perikatan Nasional (PN), diikuti satu borang oleh calon Perpaduan dan tiga daripada calon Bebas.

Dalam pada itu, setakat jam 9 pagi seramai dua calon telah berada di Dewan Serbaguna dan Kompleks Sukan Daerah Hulu Selangor.

Mereka terdiri calon Perikatan Nasional (PN), Khairul Azhari Saut dan calon Perpaduan, Pang Sock Tao.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!