Tutup kedai makan 24 jam: Ramai hilang kerja, ekonomi terjejas

SHAH ALAM - Pemansuhan lesen operasi 24 jam bagi kedai makan hanya akan mengakibatkan ramai yang hilang pekerjaan seterusnya menjejaskan aktiviti ekonomi dalam negara.

Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, cadangan pemansuhan tersebut tidak wajar dipertimbangkan kerana operasi kedai makan merupakan sebahagian besar daripada ekonomi Malaysia.

Menurutnya, kedai makan 24 jam pula memainkan peranan penting dalam ekonomi Malaysia dengan menyediakan peluang pekerjaan dan menjana pendapatan melalui jualan makanan dan pelancongan.

"Kedai makan ini menawarkan kemudahan dan kebolehcapaian kepada individu yang mempunyai jadual yang pelbagai, termasuk pekerja syif lewat, pengembara yang tiba pada waktu tidak konvensional dan mereka yang mempunyai gaya hidup bukan tradisional.

"Selain itu, kedai makan larut malam berfungsi sebagai tempat sosial yang penting di mana rakan dan ahli keluarga boleh berkumpul selepas bekerja atau pada hujung minggu untuk menikmati hidangan dan meluangkan masa bersama," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, Presiden CAP, Mohideen Abdul Kader menggesa lesen operasi 24 jam yang diberikan kepada kedai makan dimansuhkan.

Ia berikutan kajian menunjukkan terdapat kesan negatif akibat tabiat makan lewat malam seperti berat badan bertambah, gangguan tidur dan masalah penghadaman.

Lip Eng menambah, larangan operasi 24 jam hanya akan menyekat interaksi sosial dan aktiviti rekreasi, menjejaskan kesepaduan komuniti dan kesejahteraan mental.

"Malaysia terkenal dengan kepelbagaian budaya makanannya, dan kedai makan 24 jam menyumbang kepada reputasi ini dengan menawarkan pelbagai pilihan kulinari yang mencerminkan warisan gastronomi negara yang kaya.

"Melarang mereka akan menyekat pilihan makanan dan mengurangkan kedudukan Malaysia sebagai syurga makanan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!