Tiada keretakan, hanya sensasi Sanusi - Asyraf Wajdi

MELAKA - Keputusan MCA tidak turun berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu perlu dihormati dan tidak sedikit pun menggambarkan keretakan dalam hubungan dengan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Sekretariat Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perbezaan pendapat adalah situasi yang sentiasa berlaku dalam parti politik dan tidak sepatutnya dijadikan isu oleh pihak pembangkang.

Beliau turut menempelak kenyataan Ketua Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang sentiasa memainkan isu sensasi menjelang PRK Kuala Kubu Baharu tidak lama lagi.

"Tiada keretakan apa-apa, sebelum ini pun dia kata MIC tak ada beri kerjasama, tapi hari ini MIC akan melancarkan bilik gerakan di Kuala Kubu Baharu.

"Politik ini biasalah bermain persepsi dan Sanusi dia mesti ada isu yang dimainkan sensasi, baru dia boleh hidup," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan cawangan keenam LOCCA Cafe di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara) di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini, pada Rabu.

Asyraf Wajdi yang juga Setiausaha Agung UMNO berkata, walaupun MCA tidak turun berkempen, namun wakil MCA turut hadir pada mesyuarat penyelarasan semua pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Jelas beliau, sebarang perbezaan pendapat dalam Kerajaan Perpaduan ditangani secara berhemah malah terdapat dua peringkat untuk menyelesaikan perbezaan pandangan tersebut iaitu di peringkat Majlis Pimpinan dan Sekretariat.

"Malah BN dulu ada 14 parti komponen, ada juga berlaku perbezaan pandangan.

"Tapi yang bagusnya dalam konteks Kerajaan Perpaduan ditangani secara bijaksana dan bersemuka di dalam mesyuarat," ujarnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan MCA dan MIC mengambil keputusan untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti kempen PRK DUN Kuala Kubu Baharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada gabungan Barisan Nasional (BN).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!