PRK KKB: PN perlu pilih calon istiqamah dengan parti

KUALA TERENGGANU - Perikatan Nasional (PN) perlu memilih calon yang istiqamah dengan parti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu bagi mengelak berulangnya tindakan menukar sokongan atau lompat parti.

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Razali Idris berkata, calon yang diketengahkan perlulah seorang individu yang kental dengan perjuangan parti dan mempunyai prinsip.

"Calon mesti istiqamah dengan perjuangan PN kerana kita tidak mahu apa yang terjadi sekarang (bertukar sokongan kepada kerajaan) terus berulang.

"Oleh itu, tapisan yang sangat ketat memang dibuat untuk memastikan calon itu nanti benar-benar memenuhi kriteria yang ditetapkan, calon boleh menang dan akan membawa mandat rakyat dengan memperjuangkan prinsip dan parti," katanya ketika ditemui pemberita sempena persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Razali turut memberi bayangan kuat bahawa calon PRK di DUN berkenaan terdiri dalam kalangan bangsa Melayu.

"Calon dari (parti) mana saya tak boleh jangkakan kerana ia bergantung kepada keputusan majlis tertinggi PN, cuma bayangan saya calon Melayu sangat penting dan boleh menang. Ini adalah pandangan saya sama ada calon itu daripada Pas, Bersatu atau Gerakan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, perpecahan yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu dilihat memberi kelebihan kepada PN untuk memenangi kerusi tersebut.

"Macam-macam kenyataan dikeluarkan oleh MCA, MIC dan persengketaan sesama mereka itu diharap dapat menukar sentimen pengundi untuk menyokong PN," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK DUN Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini dan 27 April sebagai hari penamaan calon.

Hari pengundian awal pula ditetapkan 7 Mei ini dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Pada pertandingan empat penjuru Pilihan Raya negeri (PRN) lalu, Kee Hiong dari parti DAP memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 4,119 undi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!