'Sudah-sudahlah tembak kaki sendiri'

SHAH ALAM - Pemimpin Kerajaan Perpaduan diingatkan agar menghentikan segera perbuatan ‘menembak kaki sendiri’ yang dianggapnya semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan berkata, pada saat Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sedang bekerja keras untuk menstabilkan politik dan ekonomi negara ini, tindakan segelintir pemimpin cuba menyerang kredibiliti pemimpin dan parti-parti dalam kerajaan hakikatnya tidak memberi sebarang manfaat terhadap Kerajaan Madani.

Mengambil contoh keputusan MIC dan MCA memboikot Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB), Ahli Jawatankuasa Pimpinan Parti Amanah Negara (Amanah) itu menyifatkan tindakan sebegitu merugikan semangat kerjasama BN-PH yang telah dipupuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“MIC dan MCA menyatakan mereka boikot kempen PRK KKB disebabkan calon Barisan Nasional (BN) tidak diletakkan di kerusi tersebut.

“Mereka jangan lupa kerusi berkenaan telah disandang oleh DAP sejak tiga penggal lalu dan berjaya dipertahankan pada saat PH kehilangan 22 kerusi DUN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor tahun lalu.

“Dengan kerjasama BN-PH yang semakin baik pasca PRU15, saya fikir sudah-sudahlah pemimpin Kerajaan Perpaduan terus bersikap menembak kaki sendiri pada saat genting ini.

“Sudah tiba masanya kita turunkan ego masing-masing dan menggembleng tenaga memastikan kemenangan calon Kerajaan Madani kelak,” katanya.

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu akibat barah.

Pada 22 Mac, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, koalisi itu tidak akan menuntut kerusi Kuala Kubu Baharu dan memberi laluan kepada rakan parti penyandang dalam Kerajaan Perpaduan iaitu DAP.

Sementara itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Mohd Zaid Ibrahim kecewa dengan keputusan MCA dan MIC yang tidak mahu terlibat dalam PRK KKB.Ujar bekas pemimpin DAP itu, ketika terdapat isu antara kaum di negara ini, kedua-dua parti komponen BN berkenaan sepatutnya dapat memberi perubahan dalam politik.

**media[2623905]**

“Negara memerlukan suara baharu BN tetapi pemimpin MCA dan MIC tidak melihat keperluan untuk mengisi kekosongan dalam politik negara,” katanya dalam kenyataan di laman X.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28