Kerajaan Perpaduan berisiko hilang kerusi

SHAH ALAM - Kerajaan Perpaduan berisiko untuk hilang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu, 11 Mei depan ekoran cabaran besar dihadapi parti berkenaan ketika ini terutama membabitkan pertelagahan pemimpin-pemimpinnya.

Penganalisis politik, Dr Ariff Aizuddin Azlan berkata, risiko untuk Pakatan Harapan-Barisan Nasional (PH-BN) kalah dalam PRK itu tinggi sekiranya peratusan keluar mengundi rendah.

Katanya, sikap tidak ‘sebulu’ dalam kepimpinan kerajaan akan mempengaruhi keputusan PRK jika benar persepsi bahawa sokongan pengundi Melayu dan pengundi muda sekarang beralih kepada Perikatan Nasional (PN).

“Pada pandangan saya, tambahan pengundi baharu di PRK KKB memang akan memberikan kesan kepada Kerajaan Perpaduan terutama sekali buat DAP dan PH.

“Dalam konteks ini, memang PN ada peluang untuk menang jika jumlah pengundi yang keluar mengundi kurang berbanding dalam pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tajuk muka depan Sinar Harian pada Isnin yang melaporkan mengenai ‘Cabaran Besar Kerajaan Perpaduan’.

Cabaran besar itu merangkumi hasrat Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk menjadi gergasi politik dan pertikaian dalam kalangan pemimpin kerajaan berhubung Titah Adendum walaupun Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpinnya masih kukuh tanpa sebarang tanda keretakan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyifatkan tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Datuk Seri Najib Tun Razak mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum boleh mencetuskan krisis perlembagaan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mendakwa, kenyataan Perdana Menteri dan menteri Kabinet dalam isu Titah Adendum jelas menunjukkan ‘ketidaksatuan’ antara mereka.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (UiTM) itu menegaskan, jika pertikaian antara pemimpin Kerajaan Perpaduan terus berlaku ia akan memberi lampu hijau kepada PN untuk membuktikan kepada rakyat bahawa kerajaan sedia ada tidak mampu untuk memerintah.

Bagaimanapun katanya, masih terlalu awal untuk beranggapan kerjasama PH-BN akan terkubur sebelum memasuki gelanggang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) kerana Anwar dan Ahmad Zahid sebelum ini telah memberi jaminan berhubung perkara itu.

Memperincikan mengenai cabaran dari segi hasrat PKR untuk menjadi gergasi politik pula, Ariff Aizuddin berpandangan, laluannya bukan mudah kerana ia bergantung kepada kejayaan pelaksanaan dasar kerajaan oleh Anwar yang juga Presiden PKR.

“Saya fikir apa yang disasarkan PKR bersifat realistik dan selagi Anwar relevan, tak ada masalah untuk PKR.

“Oleh itu jika Ahli Parlimen Tambun itu gagal melaksanakan tugas sebagai Perdana Menteri dalam konteks pelaksanaan dasar-dasar kerajaan, ia diramal memberi impak yang besar kepada PKR pada waktu akan datang,” ujarnya.

Nak berita-berita terkini dengan lebih pantas? Jom sertai saluran WhatsApp Sinar Harian: https://whatsapp.com/channel/0029Va4iEylEgGfDYSCqPJ28